Followers


Khamis, 13 Oktober 2011

Joran Nan Sebatang

1
Hujan masih belum mahu berhenti. Titis-titis air yang lahir dari kegelapan awan berguguran lebat hingga mengaburkan pandangan serta menghilangkan warna merah senja. Tebing sungai pasti ada yang runtuh serta menumbangkan pohon-pohon kecil di pinggirannya kemudian hanyut deras dialirkan sungai yang keruh bercampur tanah dan lumpur hingga ke hilir.

Pak Akob sudah tidak mampu mengira waktu. Kaki tuanya itu digagahinya melangkah perlahan menyusur tebing sungai bertemankan sekaki payung yang patah tangkainya. Lampu suluh yang di bawa menghulurkan sedikit bantuan meski kadang-kadang kakinya tersadung batu dan akar pokok kerana gagal melihat dengan jelas.

‘Di mana anakku?’,soalan itu bergumpalan dalam dadanya,berpusar-pusar dan menjerut tangkai hati orang tua itu. Gerun sekali memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang tidak henti menerpa ke akalnya.

“Uda!”

Beberapa kali dijeritkan nama itu namun suara Pak Akop hilang di bawa hujan.

‘Di mana kau,nak?’,hatinya terus diamuk bimbang. Tidak mungkin dia dapat mencari dalam keadaan begini tanpa pertolongan sesiapa. Gelap malam semakin memekat ditambah lagi hujan yang sedang menggila. Dia perlu segera mendapatkan bantuan.

Menyusur denai becak yang menghala ke jalan utama kampung, Pak Akob diasak sesal tiba-tiba. Petang tadi, kalaulah dia mendengar rungutan isterinya tentang Uda yang masih belum pulang bermain, tentu pencariannya tidak sesukar begini. Kalaulah dia menyedari sejak awal akan ketiadaan joran sebatang itu, pasti Uda sudah diturutnya ke sungai. Kalaulah joran itu tidak diterimanya dulu, mungkin perkara ini tidak akan berlaku. Ah,begitu banyaknya kalau hingga Pak Akob jadi lupa akan ketentuan takdir.

Skrett!

“Pak Akob? Kenapa?”

Bunyi motosikal dibrek seiring dengan suara menyapa yang dikenalinya, mendadak menyapu lamunan. Mail anak arwah Busu Deris. Mereka berdua sering bertemu di tebing sungai dengan tujuan yang sama. Menebak lubuk bersarang ikan dengan harapan tinggi melangit, agar berhasil menyinggah rezeki. Melihat beberapa batang joran yang berceracak di dalam bakul motosikal itu, hati Pak Akob kembali diusik hiba.

“Uda hilang.”

Matanya masih belum lepas dari memandang batang-batang joran tersebut. Dari sinilah datangnya joran yang sebatang miliknya itu menggantikan joran buluh beruas lima yang sudah lama menabur khidmat. Benar sungguh kata orang, sudah dapat gading bertuah, tanduk pun tidak berguna lagi. Pak Akob pun sudah lupa, entah di mana gerangannya joran buluh beruas limanya itu sudah dicampaknya.

“Mari!”

Gesaan Mail singgah di telinga menyedarkan orang tua itu agar perlu bertindak pantas. Payung buruknya dilipat kemudian bertenggek di belakang motosikal Mail untuk mencari bantuan.

‘Anakku masih hilang!’ raung hatinya lagi.
***

Hari itu tiada bezanya dari semalam. Dia kembali ke tebing sungai dengan harapan menggunung tinggi. Duduk beralaskan rumput hijau setelah beberapa kali beralih tempat mencari lubuk yang diyakini tempat ikan bermain. Berjarak beberapa depa darinya, ada anak muda berbaju merah bertopi hitam sedang mengatur joran-joran gentian kaca yang sudah diumpan. Batang-batang joran itu disangga dengan ranting kayu terpacak kukuh ke tanah. Berbanding dengan dirinya, hanya sebatang joran buluh beruas lima di tangan sesekali turut bergegar bahana diterpa pusaran air. Yang mana kerap mengelirukan diri akan sambaran rezeki di mata pancing.

‘Ah! Mudah-mudahan rezeki hari ini lebih baik dari semalam.’ detak hati kecilnya. Sekilas, imbasan wajah-wajah mulus yang berselera menjamah hidangan malam berlaukkan anak-anak ikan sembilang sebesar tiga jari mulai mengacah ingatan. Hatinya terkocak hiba.

Kasihan anak-anak…lauk selalu tidak pernah lebih dari itu. Sesekali dijemput orang ke majlis kenduri kendara, dihadap rezeki yang berlimpah itu dengan bersungguh hati. Seumpama tidak makan berbulan lamanya. Malu segan segalanya ditolak ke tepi. Namun jauh di sudut hati, terbit rasa terkilan kerana dirinya gagal memberi yang terbaik buat keluarga.

Tiba-tiba gegaran di joran buluh mematikan lamunannya. Perlahan-lahan, tangsi bingkas digulung. Sembari hati menyeru-menyeru agar ada sesuatu yang terlekat di hujungnya menggantikan umpan. Merkah senyum di ulas bibir tua itu tatkala melihat seekor lais menggelepar rakus sambil menahan bisa mata kail yang terlekat di muncung.

Mata tuanya yang semakin mengumpul kedut dapat meneka dirinya tentu sedang diintai, mungkin juga sedang dinilai dalam diam oleh pemuda berbaju merah itu namun sedikitpun tidak menjadi kudis baginya.

‘Pandanglah aku. Anak lais sebesar empat jari ini, sudah mampu membuat aku tersenyum senang namun tahukah kau, habuan tidak seberapa itu terlalu bermakna buat diriku sekeluarga?’ ucapnya dalam hati.

‘Lihatlah aku. Lihatlah gumpalan tangsi yang bergulung pada tin kosong ini. Pasti kau tertanya-tanya,masih ada lagikah kaedah seperti itu diguna pakai pada zaman manusia sudah tinggal di angkasa?’ sambung hatinya lagi

Namun kehadiran anak muda tersebut bersama sebatang joran biru di tangan menghairankannya sekaligus mematikan terus kata-kata yang terbit dari dalam hatinya itu. Terpinga-pinga dia memandang bahkan gagal memahami isyarat yang diberikan oleh pemuda bertopi hitam apabila menyorongkan joran biru tersebut ke tangannya.

“Saya ikhlas.”

Sepotong ayat itu bagai meresap jauh ke dalam hati. Joran biru dipandang lama. Mampukah joran itu mendatang rezeki yang lebih kepada dia sekeluarga? Bukankah rezeki terletak pada ketentuan tuhan?

“Cubalah! Mungkin ikannya besar sedikit.”

Hati tuanya akur dengan kata-kata itu. Joran gentian kaca tersebut sudah tentu dapat menyelam ke lubuk ikan paling dalam berbanding joran buluh beruas lima miliknya. Dan umpan cacing hidup di hujung kail tentunya mampu mengundang kehadiran mangsa yang lebih besar berbanding anak-anak lais dan seluang yang sering termakan umpan di mata kail joran buluhnya itu.

Sekilas,gambaran anak-anak bersorak gembira meraikan hasil tangkapan yang luar dari kebiasaan,merekah senyum di bibirnya. Joran biru itu disambut dengan rasa syukur di hati. Tiada kata-kata yang mampu dilontarkan namun pandangan berterima kasih dengan ulas mata yang bergenang air dek keharuan itu semuga dapat dimengerti oleh anak muda berbaju merah. Dan petang tersebut, seperti yang diharapkan, raga buruknya sarat dengan hasil pancingan. Cukup untuk hidangan mereka sekeluarga sehari dua. Dia benar-benar berterima kasih. Sejak itu, joran biru nan sebatang menjadi teman setia…

***
“Akob! Akob!” Tok Empat Zali dan Lebai Dolah tergesa-gesa menghampiri. Di tebing sungai itu,kelihatan cahaya lampu suluh bersilang-silang. Suara memanggil-manggil nama Uda, bergema di sekitarnya. Pak Akob bangun berdiri mengharapkan sebarang berita, baik atau buruk sudah tidak jadi persoalan lagi. Halimah isterinya masih duduk memeluk lutut di bawah pohon ara. Hujan semakin mereda namun airmata isterinya masih lagi mengalir lebat.

“Ada jumpa, lebai?” melihat gelengan kepala lebai berkopiah putih tersebut, ngongoi Halimah semakin berlagu kencang.

‘Uda, di mana kau nak?’ hati Pak Akob menjerit lagi.

“Kita kena panggil penyelamat. Air deras sangat. Kita tak cukup alat.” saran Tok Empat Zali pula.

Pak Akob hanya mampu mengangguk tatkala mendengar usul lelaki berbadan gempal itu. Dia menyerahkan semuanya kepada budi bicara penduduk kampung. Pertolongan mereka sangat-sangat diharapkan. Orang tua hanya mampu memandang orang-orang kampung berkumpul setempat sebelum kedengaran suara tok empat mengarahkan salah seorang darinya membuat panggilan kecemasan. Namun tiba-tiba…

“Nanti!”

Mail anak arwah Busu Deris melaung dari atas denai. Motosikalnya tidak sempat ditongkat. Anak muda itu turun menggelongsor ke tebing mendapatkan orang kampung yang sedang berkumpul di situ. Kelihatannya pemuda itu sudah pulang ke rumah kerana pakaiannya sudahpun bertukar. Masing-masing jelas terpinga-pinga.

“Kita cari di lombong tinggal!”arahnya.

“Mail?”serak suara Pak Akob memohon kepastian.

“Percayalah. Nanti saya cerita.”

***
‘Anakku sudah tiada.’ detak hati kecilnya.

Anak itu sudah pergi meninggalkan mereka sekeluarga yang akan meneruskan hidup dalam keadaan serba kekurangan. Tiada lagi kelibat Uda di dalam rumah usang ini. Tidak akan ada lagi suara tawanya mengusik Acik dan Usu. Pasti Kak long juga tidak boleh lagi menyuruhnya mengangkut air di perigi. Angah pula sudah tiada teman bermain gasing atau layang-layang tatkala angin deras bertiup kencang.

Hati tuanya bergalau dengan rasa rindu yang mencengkam. Uda anaknya yang paling cergas tidak terbanding dengan usia sembilan tahun. Abangnya pun bukan tandingan sementelah lagi Angah mengidap lelah semenjak dari kecil. Walaupun tubuhnya rincing kurus, pergerakannya agak tangkas dan ringan tulang. Anak itulah yang sering menemaninya ke baruh bertanam pisang. Kadang-kadang menjadi kawan bersenda ketika menorah getah. Uda juga selalu menemankannya berjam-jam di tebing sungai memancing ikan.

‘Kasihan anakku.’

Hati tuanya merintih lagi apabila terbayangkan Uda disaat-saat terakhir hayatnya. Pasti bertarung habis-habisan untuk menyedut udara yang semakin menipis di dadanya. Mungkinkah anakku itu terbayangkan kami semua? Mungkinkah saat itu Uda sudah dapat melihat bayangan syurga yang menantinya? Hatinya tidak habis-habis berbicara.

Mana mungkin dia dapat melupakan tatkala jasad kecil yang sudah membengkak diangkat ke tebing lombong tinggal. Halimah sudah meraung-raung berteriak nama anak itu. Mujurlah ada jiran-jiran yang berusaha menenangkan. Kakinya sendiri sudah tidak dapat berdiri sempurna. Gigilannya masih terasa-rasa hingga ke saat ini.

Mail membuka cerita lara. Ketika pulang ke rumah seketika untuk melunaskan hajat, dia terpempam melihat joran biru nan sebatang itu tersangkut kembali di dinding rumahnya. Akibat diasak rasa hairan yang bukan sedikit, Malek adik si adik bongsu dicari bagi mendapatkan penjelasan. Melotot mata pemuda itu apabila dikhabarkan Uda tergelincir ke dalam lombong tatkala merebut joran biru dari tangan Malek yang tersalah menebak. Sangkanya anak Pak Akob itu berhasil mendapatkan joran biru tersebut dengan cara tidak halal. Walaupun Uda sudah berkali-kali menafikan joran itu dicuri, Malek tetap dengan pendiriannya. Disaat melihat Uda terkapai-kapai di dalam air, Malek dan dua rakan yang lain lintang pukang pulang ke rumah dengan mengunci mulut.

Hati tuanya terhiris lagi sebaik sahaja bola matanya singgah ke joran biru nan sebatang yang tersandar di tangga.

‘Joran itu menjadi penyebab kematian anakku!’ jerit hati kecilnya.

‘Bagaimana mungkin joran yang pernah meraih rezeki yang banyak itu menjadi sebab kematian?’ hatinya berbolak balik sendiri.

‘Kalau bukan kerana joran biru itu, pasti Uda masih hidup.’ protes nya dalam hati

‘Bukan begitu! Joran itu tiada daya. Hidup dan mati manusia, ketentuan tuhan yang tidak boleh diubah sesiapa.’ bangkang hatinya terus.

***
Pak Akob kembali ke tebing sungai yang mengalir lesu. Beralaskan rumput menghijau dan berlatarkan langit membiru, tali tangsi perlahan-lahan dijatuhkan ke air. Hari ini, seperti juga hari-hari kelmarin yang telah berlalu tiada bezanya bagi orang tua itu. Dia tetap juga mengharapkan raga buruknya menjadi tempat ikan menyinggah untuk santapan mereka sekeluarga.

Joran buluh beruas lima erat dalam genggaman. Dalam hatinya sudah dipasang ikrar, joran itu akan tetap berada di sisinya sampai bila-bila. Tiada lagi joran biru. Tiada lagi joran nan sebatang itu. Segala-galanya yang mengingatkan dia dengan kesedihan, ingin dilontar jauh-jauh. Biarlah ingatannya terhadap Uda hanya yang manis-manis sahaja. Senyum Uda, tawa Uda, gurau senda Uda dan canda Uda.

Joran nan sebatang itu akan membuatkan dia terkenang lambaian terakhir Uda, kesakitan Uda, penderitaan Uda dan wajah terakhir dari Uda sebelum liang dikambus.

“Uda, ayah rindu.”
TAMAT

Tiada ulasan: