Followers


Isnin, 20 Disember 2010

Kau Pun Jua Ratuku

Luahan hatiku ini khusus buat isteri tercinta. Bacalah sayang dan hayatilah. Semuga bait-bait ayat yang ku gubah ini mampu menyelam dalam ke dasar hatimu. Terimalah semuanya dengan hati terbuka kerana segalanya sudah terpatri di sini. Sesungguhnya aku tidak bijak mempamer gerak laku menyayangi dan mencintai. Tetapi, itu bukan bererti aku tidak mengasihi…

Sayang,
Cepu akalku ini benar-benar diasak kehairanan kerana saban malam,lewat akhir ini kau sering sahaja meninggalkan posisimu di ranjang peraduan setiap kali menjengah detik lewat malam. Terjagaku dari lena, hangat badanmu itu ingin kurasa namun sering benar aku dibungkus dingin sendirian lantaran hembusan kipas angin yang tidak dimatikan. Kau tiada di sisi. Di manakah kau berada sayang?

Cahaya kelam terpasang di penjuru kamar begitu menyilaukan mata yang baru sahaja terpisah dari kelopaknya. Kuamati susuk indah itu dan ternyata, ianya milik isteriku tercinta. Kehairanan mula menguasai diri…berselirat dan membentuk puing-puing pertanyaan yang mengasak di dalam benakku ini. Apa yang sedang kau kerjakan? Begitu kau dilambung keasyikan hingga terlupakan aku, suamimu yang sedang kedinginan di ranjang ini?.

Manisku,
Saat menatap nota luahan hatimu lewat petang itu, hatiku libang libu dengan pelbagai rasa. Mujur juga kau tiada di sini kerana belum pulang dari menghantar cahaya mata kita dari menghadiri jemputan hari lahir teman mereka. Jika tidak, tentu kau sudah melihat sedikit kelemahanku yang dihurung rasa keharuan. Walaupun air mata yang sinonim dengan senjata wanita itu tidak sampai menitis namun sempat juga ia bergenang di kelopaknya kerana hatiku dijerut rasa. Mungkin juga kerana datangnya kesedaran yang selama ini tidak pernah kuambil kira.

Sayangku,
Dari dasar hatiku yang paling dalam, ku mohon seribu kemaafan darimu andai perlakuan remehku yang keterlaluan menyakitkan hatimu selama ini. Sungguh, kusangkakan ianya tidak menjadi hal antara kita berdua namun siapa menduga, sikap lewa ku itu benar-benar membuatkan kau memendam rasa. Abang berjanji, semua cawan yang telah dihabisi airnya akan kubawa ke dapur dan ku cuci sendiri. Sayang tidak perlu bimbang lagi kerana abang juga telah memutuskan untuk melanggan astro beyond yang membolehkan abang merakam semua perlawanan bolasepak dan menontonnya kemudian nanti. Tidak akan ada lagi sebarang unsur gila kuasa atau sebagainya. Bagaimana sayang?

Isteriku,
Terukir senyuman di bibirku ini saat membaca lelucon yang boleh kutafsirkan sebagai mengumpat itu. Hmm…diam-diam ubi,ya?. Dapat kubayangkan senyuman mengena yang tercorak pada wajahmu dikala aku benar-benar gigil sewaktu mengeluar isi dompet. Ah, benggali berjambang itu. Tidak ingin kutatap wajahnya lagi. Dibenakku ini hanya terbayang kisah-kisah aib isteri yang terpaksa membayar harga barangan yang dibelinya dengan maruah diri mereka. Nauzubillah! Kerana itu tanpa tangguh, hutangmu itu kulangsaikan semuanya.

Terlanjur bercerita tentang langsir baru, bolehkah kau bersabar sedikit sayang? Bukankah kita masih dalam membaikpulih kediaman syurga dunia kita ini? Apabila sudah lengkap semuanya, akan kubawa dirimu itu memilih fabric bermutu di The Jakel atau di Harisons. Pilih saja semahumu kerana waktu itu,aku tidak akan berkira lagi. Semuanya demi rumahku syurgaku…
Atau kau teringin membeli belah di SSF Curtain? Atau Euro Moda? Namakan saja…

Buah hatiku,
Sayang, bukan niatku untuk berkira denganmu. Tidak sekali-kali! Kau isteriku yang kusayangi. Sudah sembilan tahun pernikahan kita, aku sudah jadi selesa berfungsi sebagai bendahari sementelah lagi bidang kerjaku dengan syarikat kewangan. Sayang, sebenarnya aku ingin merahsiakan perkara ini sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan kita namun setelah membaca luahan hati di diarimu itu, terpaksalah berita ini kubongkarkan.

Aku sudah mendaftarkan nama kita berdua untuk kunjungan ke bumi suci Mekah. Jika lorong rezeki semakin lapang, kau dan aku dijemput Allah sebagai tetamunya hujung tahun hadapan. Bagai ternampak-nampak lambaian kaabah itu, sayang. Kerana itu, kita perlu lebih berhemat dalam berbelanja. Tidak boleh lagi sebarangan mencurah wang pada minat membacamu itu. Aku punya jalan lebih baik. Apa kata, setiap hujung minggu kita habiskan masa dengan anak-anak berkunjung ke perpustakaan negara? Luahkan rasa terujamu pada buku-buku di sana nanti. Walaupun aku bimbang kau enggan pulang, tetapi tidak mengapa. Kali ini, peluang itu keberikan untuk mu. Bacalah sepuas hati.

O…rupa-rupanya kau sudah tidak berfikir panjang, ya?. Berapa banyak novel yang telah kau beli dengan wang yang kuberikan tempohari? Pasti selepas ini, kau akan tenggelam dalam dunia penulis-penulis itu sehingga tidak mempedulikan aku lagi. Aku juga ingin diulit begitu hingga kau lupakan yang lain. Seperti kau menguliti buku-buku itu sepanjang hari.

Manisku,
Benar sekali rungutanmu itu. Aku seperti sudah lupa bahawa akulah dulu yang beria-ia mendorongmu untuk mendapatkan lesen kenderaan. Tujuannya agar mudah urusan seharian isteriku ini. Juga terjamin keselesaan anak-anak kita yang mahu ke sekolah. Tahukah kau isteriku bahawa sebenar-benarnya aku sungguh cemas saat kau bercerita tentang kereta yang hampir kau langgar itu?

Kereta sebuah boleh ku beli, isteri nan seorang di mana hendak ku tukar ganti? Maafkan abang,sayang… jika rengusan ku itu sedikit kasar dan mencalarkan hatimu. Sungguh aku tidak sengaja berbuat begitu. Perlakuan tersebut mungkin didorong oleh rasa terkejut dan bimbang. Bimbangkan keselamatanmu itu!
Kata-kata sinis yang keluar secara spontan itu umpama menutup rasa bimbangku. Aku tahu, kau sudah cekap memandu. Jika tidak, mana mungkin aku berani melepaskan dikau pergi ke toko buku pilihanmu itu sendirian. Sudahlah jauh dari rumah, ditambah pula dengan kesesakan jalanraya. Jangan kecil hati,sayang…

Isteriku,

Dalam banyak-banyak catatan harianmu, perkara inilah yang mahu aku sentuh dalam-dalam. Aku mahu kau menghayatinya sepenuh hati, sepenuh jiwa dan raga. Sematkan di dalam kalbu, apa yang ingin kucoretkan ini.

Perkongsian hidup ini bermula dengan rasa cinta dan kasih sesama kita. Bukan dari kehendak orang tua atau sebagainya. Aku pilih dirimu sebagai suri hidupku, pelengkap rasa kekurangan seorang lelaki juga insan terpilih yang melahirkan zuriat untukku. Kenapa perlu ada ragu antara kita? Aku menyayangi dirimu sejak hari pertama kita diijabkabulkan. Bukan…bukan hari itu tetapi sejak kita bertemu buat pertama kalinya. Kasihku ini telah kau tawan. Hatiku ini telah kau curi. Ijab dan Kabul itu pelengkap bagi kita menterjemahkan rasa cinta. Hingga tiba saat ini, hanya kau lah ratu hatiku...

Sayang, benar seperti yang kau lihat. Aku seperti gembira dengan kehadiran bekas tunanganku ketika majlis pertunangan Imah dahulu. Benar sekali dan…cuma itu. Tidak pernah terdetik walau sekelumit dalam akalku ini untuk mengganti kasih. Itu cerita lalu, zaman sebelum aku belum mencapai kematangan. Dia sejarah masa lalu yang telah berkubur. Kehadirannya ibarat kunjungan teman lama yang sudah terpisah sekian masa sementelah lagi dirinya itu sudahpun ada yang bertanya. Jangan ragu sayang…Hatiku yang kau curi, tidak akan kuminta kembali. Aku mahu kau terus menyimpannya sampai bila-bila kerana ianya menjadi pengikat cinta kita. Tidak perlu mengasingkan diri, sayang. Dan aku tahu, ada tangisan yang kau sembunyikan dariku. Sembilan tahun bersama, air mukamu itu telah ku hafal secukupnya!

Dan, terima kasih juga dengan luahan hatimu itu. Tentang dirimu yang setia berkasih pada yang satu. Perempuan kaberet? Tak mungkin sebegitu sinis pandanganku hari itu? Apa kata, kau tukarkannya dengan renungan makrifat? Haha…sebetulnya, aku benar-benar cemburu dan ingin menyelongkar perasaan sebenarmu terhadap si dia bekas kekasihmu itu. Kerana itulah, dirimu itu kurenung tidak berkelip. Aku mahu meneliti setiap corak perubahan air muka yang boleh kusifatkan sebagai ‘kasih kembali berbunga’. Tetapi ternyata, aku gagal menemukannya…

Isteriku tercinta,
Buat pengetahuanmu, luahan hatiku ini telah kulakarkan pada malam minggu, disaat kau dan anak-anak asyik di depan televisyen mengadap drama entah apa-apa. Ketika menulis dan mencoret, sesekali singgah jua suara mersikmu itu ke telingaku ini. Membuatkan aku tersenyum sendiri diterpa rasa rindu yang tidak berpenghujung. Terlakar angan-angan untuk kuterjemahkan rasa cinta di hati. Tidak perlu tunggu malam jumaat, sayang. Selagi seseorang isteri taat pada suaminya, setiap haripun dia akan beroleh pahala. Dan aku mahu kau selalu mendapatkannya jadi, malam jumaat dan malam-malam lain akan sering kita lalui dengan kebahagian. Mencukupkan keperluan nafkah yang dituntut juga mengeratkan perasaan yang sedia terjalin antara kita. Rasa tidak sabar-sabar menghabiskan luahan hatiku ini untuk ku gamit dirimu masuk ke pelukanku. Tinggalkan saja sandiwara di televisyen itu. Berdepanlah dengan kenyataan yang aku benar-benar inginkanmu, saat ini…

My love, setiap insan di dunia ini hadir dengan seribu kelemahan. Namun, kita berusaha mempelajari sesuatu dari setiap kejadian agar kelemahan itu tidak berulang semula. Abang sedar, sayang. Abang kurang memberi perhatian pada pendidikan anak-anak dan meletakkan sepenuh kepercayaan pada sayang seorang.

Bantulah diriku ini untuk berubah. Anak-anak ibarat kain putih yang menjadi tanggungjawab kita untuk mencorakkannya. Ingatkanlah aku selalu akan tugas pentingku itu kerana sebagai manusia, mungkin aku terlalai seketika. Selepas ini, aku akan berusaha memenuhi semua jadual perjumpaan dengan guru, menghadiri mesyuarat PIBG dan yang lainnya. Kita berdua akan hadir bersama-sama. Seperti yang kau nyatakan dalan diarimu itu,

“ Perjumpaan itu untuk ibu bapa. Bukan ibu saja…” Aku sangat-sangat bersetuju dengannya!

Terima kasih sayang kerana berjaya menjadi ibu yang baik kepada anak-anak kita. Walau tanpa sepenuh bantuan dariku, kau berjaya membimbing mereka berjaya dalam pelajaran. Hari kecemerlangan itulah buktinya. Saat melihat sederetan A+ di buku rekod anak-anak, hatinya kembang dek rasa bangga. Bangga dengan kebolehan anak-anak, bangga dengan dirimu yang tidak jemu-jemu menjadi penunjuk jalan bagi mereka.

Tatkala melihat kau bersungguh-sungguh menyiapkan diri ke majlis tersebut, hatiku dipalu cemburu tidak terperi. Isteriku cantik bergaya sedondon biru, pasti ada mata-mata gatal yang tidak lepas pandang tambahan lagi tiadanya aku di sisi. Tanpa sempat berfikir, kucapai kemeja biru itu untuk kau seterika sekali kemudian beralih ke kasut kulitku. Teringin juga bergaya di pentas itu. Bagaimana rasanya,ya?

Walaupun terselit rasa kecewa kerana tidak dapat naik ke pentas mengiringi anak-anak, jauh di sudut hati, aku bersyukur kerana sekurang-kurangnya dirimu terselamat dari dipanah pandangan ramai. Dan aku pula, jika sudah berada di atas pentas itu…bimbang hadirin gagal mengesan. Yang mana satu VIP, yang mana satu suamimu ini…kerana rasaku, aku lebih jauh berketerampilan dari tetamu jempuatan itu. Kurangnya aku, kerana tidak bertali leher berbanding dif kehormat yang tie nya panjang hingga ke pusat. Lebihnya aku disebabkan perutku masih rata berotot berbanding tetamu itu yang sudahpun boroi diselaputi lemak. Jangan ketawa,sayang. Nanti malam, ku beri pengajaran cukup-cukup…

Cinta hatiku,

Cuti sekolah bermula. Aku gembira ada anak-anak yang membantu kerja seharianmu. Pandai kau mendidik mereka menjadi penyejuk hati ibu bapa. Semuga mereka akan terus begitu hingga dewasa. Aku berjanji selepas ini, aku akan berubah sedaya upaya. Tidak akan ada lagi bekas kotor di meja kaca. Tidak akan kusumbat lagi setokin busuk itu di dalam kasut. Semuanya akan kulempar ke baldi. Juga seboleh mungkin, aku akan berusaha untuk mengasingkan seluar kecilku itu (he he) dari seluar sukanku dan tidak lupa, kain pelekatku akan kulipat baik-baik. Tidak ada lagi terlepek sana-sini.

Aku juga berikrar pada diriku sendiri untuk lebih prihatin terhadap sebarang rungutan darimu. Tidak ada lagi sambil lewa atau sebagainya. Mungkin boleh kau anggap ini sebagai azam tahun baru dariku.

Sayang, aku kini mengharapkan berita gembira darimu. Kehadiran cahaya mata kita seterusnya. Seperti yang kita berdua harapkan, semuga ianya zuriat lelaki pelengkap rumahtangga. Namun, andai dikurniakan perempuan lagi aku tidak sesekali menolak. Kita tetap masih boleh mencuba. Jangan takut berdepan dengan syahid, sayang. Kerana semuanya akan dinilai di akhirat kelak. Bergembiralah dengan hadiah dari Allah itu. Aku akan sentiasa di sisimu. Andai diizinkan, ingin sekali rasanya mengongsi kesakitan sewaktu melahirkan namun apa boleh buat, hadiah itu hanya untuk wanita mithali sepertimu.

Harum rambutmu kuhidu saat menarikmu dalam dakapan. Lembut pipi mu nan gebu itu saat kulayangkan ciuman. Bibir merah merekahmu itu milikku seorang. Sekujur tubuhmu itu ditakdirkan untukku. Pesanan dariku sayang, jagalah ia hanya untukku. Lindunglah ia dari pandangan orang lain waima teman baik mu sendiri. Aku bimbang dirimu dijadikan bahan jajaan teman-temanmu itu. Andai terbuka rahsia kepada yang bukan muhrim, dosanya tetap terpalit jua. Bayangkan, seurat rambut sahaja balasannya sudah berpuluh tahun di neraka, mampukah kau bilang helaian rambut di pundak kepalamu itu? Berjaga-jaga sayang, aku ingin kita berdua berjumpa di syurga kelak tanpa perlu dihisab. Aku hanya inginkan dirimu itu sebagai isteriku di dunia mahupun di akhirat.

Terlanjur bercerita tentang diari, berhati-hati dengan anak-anak yang terbacanya. Simpanlah baik-baik, kerana mungkin aku akan terpanggil untuk melihat sekali lagi apa yang kau asyikkan setiap malam. Bersungguhan benar menulis lagaknya seperti mahu menghadiri peperiksaan. Maafkan aku untuk keterlanjuran sekali ini. Andai tidak kubaca isi hati mu yang tertulis itu, sampai sekarang mungkin aku masih belum mengesan kelemahan sendiri.

Sweetheart, selepas ini janganlah ada keraguan di antara kita. Jika ada yang tidak puas di hatimu, terus terang sahaja. Tidak perlu bersembunyi dan menangis sendiri. Luahkannya sayang, luahkan…
Sudah panjang lebar abang menulis. Kekok tetap jua terasa kerana sudah lama bakat ini tidak kuasah. Kau perlu tahu sesuatu, sayang. Sesuatu yang tidak pernah aku sebut sebelum ini. Dulu, aku benar-benar ingin menjadikan seni sebagai sumber rezeki. Maksudku, dari sudut berkarya dengan menulis novel atau cerpen. Aku juga meminati puisi. Bangku sekolah menyaksikan aku memenangi banyak peraduan menulis cerpen dan puisi. Setakat menulis sahaja kerana aku malu sekali untuk mendeklamasikannya.

Jiwaku ini sarat dengan rasa romantis malangnya tidak bijak menterjemahkannya dalam kata-kata. Itulah kelemahanku jadi, akupun mula beralih ke bidang kewangan yang mungkin lebih sesuai untuk aku yang berat berkata-kata ini. Seharian hanya mengadap computer dan berdepan dengan nombor-nombor. Namun ada ketikanya, masa senggang di pejabat ku habisi dengan melayari blog-blog sastera penulis mapan seperti Azmah Nordin dan pemuisi pujaanku Zaen Kasturi.

Cukuplah di sini sayang. Aku harap kau mengerti apa yang ingin ku sampaikan padamu. Maafkanlah diriku ini andai ada yang menyentuh kolam rasamu itu. Kau kucintai sejak dulu hingga saat ini. Dirimu itu kurindu walau bulan beralih tahun. Semuga hari mendatang membuatkan kita lebih menghargai dan menyedari akan kekurangan diri sekaligus memperbaikinya demi masa hadapan kita sekeluarga. Pasakkan sekukuhnya ayat ini dalam hatimu. Sesungguhnya, kaulah jua ratuku...

Salam sayang dan rindu dariku,
Suamimu…

TAMAT

Luahan hati ini merupakan kesinambungan dari cerpen Seksis (Diari Seorang Isteri) tempohari. Harap maklum kepada yang belum lagi membacanya…

Tiada ulasan: