Followers


Ahad, 12 Disember 2010

Ekspress Cinta

1
Ahmad Fazly
Aku benar-benar meradang!
Jika tidak diberi pinjam,akulah yang kedekut…akulah yang bakhil. Bila sudah diberi izin,beginilah jadinya. Seeloknya,kupekakkan sahaja telinga. Biar dia muncung,biar dia cemberut. Sekurang-kurangnya,keretaku masih elok terparkir di hadapan rumah. Sekarang,apa sudah jadi? Akibat tidak mahu digelar abang yang tidak menyayangi adiknya,wira hitamku selamat menjadi penghuni Bengkel Kereta Leong. Sungguh aku meradang!
Sudahlah minggu ini,giliran kerjaku waktu tengahari. Hendak pergi,tiada masalah…bas berlambak sebelah siang. Persoalannya sekarang,bagaimana aku mahu balik? Kalau syif sebelah malam,boleh juga pulang dengan bas pada pagi keesokannya. Bas terakhir yang melewati tol Bentong menghala ke pekan tersebut setakat pukul 12 malam sahaja sedangkan masa kerjaku tamat pada pukul 1.00 pagi. Arghhh…
Adikku itu hanya menayang muka kayunya. Langsung tiada rasa bersalah. Aku tidak peduli! Sebaik saja wang pinjaman PTPTN nya masuk,dia perlu ganti semula biaya membaiki wiraku itu. Bukan sedikit-sedikit,makan ratus juga tu…
Nampaknya,seminggu jugalah aku kena naik bas. Aduh…

Nur Nabila
Leganya hari ini,station master cuti dua hari. Lapang sedikit rasanya walaupun penumpang masih belum mahu menyurut. Sekejap saja barisan di hadapan kaunter ini sudah penuh. Hendak ke tandas pun,kena ikut giliran. Peliknya hari ini, belum sekali pun aku terasa ingin ke sana. Kalau tidak,semakin tajam jelingan station master merangkap bos ku itu,semakin terasa mahu pecah pundi-pundiku ini.
Bilalah hendak berehat?. Sejak tadi asyik menekan papan kekunci yang sudah menjadi teman baik jari jemariku…Dua tahun di sini,aku sudah jadi pakar. Tidak perlu pandang-pandang lagi,sambil bercakap saja,ulas jariku sudah tahu mana hendak dituju.
Eh,kenapa dengan lelaki ini? Sejak tadi asyik termangu-mangu. Lagaknya macam orang serba salah sahaja. Hendak beli tiket,atau tidak? Dia tidak nampakkah,barisan yang semakin memanjang di belakangnya itu? Nasib baik angin aku hari ini ada sikit baik…
****
“Cik, kalau saya nak turun di Tol Bentong,kena beli tiket penuh ke?” anak muda itu akhirnya membuka mulut. Awalnya,serba salah hendak bertanya tapi terpaksa juga.
“Ya…kena beli tiket penuh ke Kuala Lumpur. Kalau nak turun di Tol Bentong,kenapa tak naik bas berhenti-henti?” Nabila cuba memberi cadangan memandangkan ada banyak lagi pilihan untuk pemuda tersebut.
“Bukan tak mahu,tapi takut lambat. Lagipun,bas tu selalu penuh,cik. Tak ada diskaun ke untuk yang naik separuh jalan macam saya ni?” melihat gelengan kepala gadis itu,Fazly mengeluh hampa. Seketika kemudian,
“Cik,tempat duduk tengah ada? Saya tak mahu duduk belakang. Pening!”
“Maaf,dah habis. Tinggal belakang sekali atau depan sekali”terang sigadis lagi. Terdengar keluhan berat dari mulut lelaki itu. Nabila tunduk menyorok senyum. Dalam hati mula berdetik, ‘Kenapa perlu memilih sangat? Duduk di tanggapun boleh,bukan jauh pun!’.
Akhirnya tiket bertukar tangan dan Fazly menepuk dahi sendiri melihat nombor kerusi yang tertera.
No 3…depan tangga!

2
Nur Nabila
Lagi setengah jam,masa kerjaku tamat. Sudah seminggu,giliran kerjaku sebelah pagi dan esok,aku akan mula pada sebelah petang pula. Sudah seminggu juga,aku sudah ada peminat paling setia. Bukan minat padaku,tapi pada bas ekspress tempat aku mencari rezeki ini. Setiap pagi, asyik mukanya yang aku nampak,tersengih di depan kaunter ini dan ayat yang paling suka dia ucapkan,
“Tempat duduk tengah ada? Saya tak mahu duduk belakang. Pening!”.
Tetapi,memang kasihan padanya. Bukan dia sahaja yang suka duduk di kerusi bahagian tengah,penumpang lain pun sama. Tempat duduk kawasan tengah bas itu memang popular terutama bagi penumpang warga emas dari bangsa cina. Kadang-kadang,mereka tempah tiket tengah itu untuk sebulan penuh. Jadi,dalam masam kelat,tiket tempat duduk depan itu diambilnya juga selepas serik duduk di bahagian belakang. Cukuplah sekali,katanya…
Dua tiga hari kebelakangan ini,dia sudah lain sedikit. Kalau tiada orang yang beratur di belakang,sengaja dia melambat-lambatkan bayaran. Gemar pula buat aku tertunggu-tunggu. Bila wang tersebut hampir kucapai di lubang separa bulat itu,lekas-lekas di tariknya semula. Sengaja hendak bergurau senda. Kadang-kadang,datangnya awal benar…beberapa jam sebelum bas tiba. Kemudian,dia duduk di bangku depan kaunter sambil memandang tajam ke arahku yang sedang bekerja. Amboi,bukan main lagi…
Tapi…aku suka!

Ahmad Fazly
Eh,mana dia? Kenapa gadis lain pula yang menunggu di kaunter hari ini? Kenapa aku rasa hampa apabila tidak dapat memandang wajah manisnya? Lesung pipitnya yang dalam macam Preity Zinta itu nampak semakin melekuk bila dia ketawa, saat aku bercerita tentang diriku hampir muntah di tempat duduk belakang bas eskpress tempohari. Tiba-tiba rasa rindu bergelora dalam hati. Ah,parah…
Seminggu berulang-alik membeli tiket,aku jadi selesa dengannya. Sementara menunggu bas ekspress tiba,sengaja aku bersidai di palang besi depan kaunter ini. Melihat dia tekun bekerja,sesekali ku usik jua dan itu mengundang senyum menawannya muncul di pinggir bibir. Manis betul…
Bila dia tanya,kenapa tidak kubeli terus tiket seat tengah untuk seminggu,,,sengaja aku jawab,bimbang rugi pula kerana mungkin keretaku sudah siap dibaiki. Hakikat sebenarnya,aku masih mahu menatap sinar matanya itu,hendak meneruskan gurauan-gurauan manis. Aku ingin terus berbicara panjang lebar dengannya,juga ingin terus bertanya,
“Tempat duduk tengah ada? Saya tak mahu duduk belakang. Pening!”
Tapi,kenapa dia tiada? Ke mana dia pergi? Mungkinkah dia bercuti? Ah,rindunya pada dia. Nasib baik juga kereta belum siap. Walaupun terpaksa tebalkan muka, menumpang Honda accord Encik Kamal penyeliaku itu untuk pulang ke rumah bagi tempoh seminggu lagi…aku sanggup. Asalkan aku dapat memandang wajahnya sebelum ke tempat kerja. Asalkan senyumnya itu dapat kubuat bekalan ketika bersendirian di dalam pondok tol nanti. Sementelah lagi,kenderaan semakin berkurangan menjelang tengah malam.
Nampaknya hari ini,mood ku merudum tiba-tiba…Arghhh…!
***
“Hello…Boleh cakap sama amoi jual tiket ka? Itu ekspress KL punya kaunter?”garangnya suara itu membuatkan dada Nabila berdebar ketakutan. Apa kesilapannya? Dia sudah jual tiket bertindihkah?
“Mana amoi? Lu salah orang oo..”balasnya semula,cuba berlindung diri.
“Lu jangan tipu! Ini nombor ah...Lu punya bos kasi sama saya. Lu pandai ah…lagi mau tipu ka?” Suara tersebut sedikit mengendur,namun belum mampu meredakan debaran orang yang mendengarnya.
“Err…saya. Saya yang jual tiket tu. Ada apa?”malu pula rasanya tertangkap menipu begitu sedangkan nombor telefonnya terang-terang diperolehi dari station master. Matilah dia andai pemanggil itu mengadu hal tersebut kepada bosnya itu. Dead duck!
“Lu ah…lagi mau tanya?. Lu sudah ambik saya punya barang,lu boleh diam-diam duduk sana. Kasi balik sama saya!”arah suara itu semula,tegas sekali bunyinya. Nabila semakin kecut perut. Apa yang sudah diambilnya? Adakah dia tersalah memulangkan wang baki?
“Apek…”
“Apa apek,apek?. Lu ingat saya sudah tua ka?” Ek?
“Sorry…sorry,mister…err,encik,bos…saya sudah ambik apa? Saya silap pulang wang kah? Nanti saya ganti…tolong,jangan macam ni” lembut suara Nabila merayu,mudah-mudahan hati pemanggil yang sedang marah itu turut lembut dan cair. Terdiam orang di sana,berjeda seketika.
“Berapa juta lu mau ganti? Lu ada banyak wang ka?” Nabila sudah mahu menitiskan airmata. Dalam hati,menyeru-nyeru nama emaknya. Emak,tolong!.
“Bos,please…jangan macam ni. Nanti kita jumpa,bincang” Bergetar suara tidak mampu disorok. Mana hendak dikorek wang berjuta? Kalau minta dalam rupiah,tidak menjadi masalah. Kalau US dolar? Waaa…
“Memang saya mahu jumpa sama lu tapi saya tak mahu lu punya wang. Saya mahu lu pulangkan semula barang yang lu sudah ambik!”Itulah juga yang diulang-ulang sipemanggil.
“Ok…ok,nanti kita bincang dululah” Apa sebenarnya yang sudah dia ambil? Nabila masih kabur…
“Baik,nanti kita jumpa. Lu jangan lari…saya cari lu sampai dapat. Dan jangan lupa,bawa saya punya harta yang lu sudah curi” Tadi kata mahu bincang dulu?
“Apa…apa tu?”takut-takut dia bertanya.
“Saya punya hati!” Hah?
“Lagi satu ah…jangan panggil saya bos. Saya tak mahu jadi lu punya bos. Ambik saya jadi lu punya…abang” Nabila rasa mahu pitam mendengar sepotong perkataan itu. Nasib baik dia masih berpijak di bumi nyata walaupun berasa bagaikan sudah berada di Inderaloka.
Abang mana ni? Tapi…dia suka!

3
Ahmad Fazly
Sebulan setengah bertapa,akhirnya wiraku kembali membelah Karak Highway ini. Terasa bagaikan memandu kereta baru. Manakan tidak,bekas kemek di sebelah hadapan sahaja tapi aku suruh kuli Leong itu ketuk dan cat semula satu badan. Bilnya yang ditulis hampir separuh kertas,kuserahkan buat adik kesayanganku itu. Terbeliak matanya memandang tapi aku tetap menayang muka kayu,sama seperti reaksi yang ditunjuknya dulu.
Terketar-ketar tangannya tatkala memasukkan kad ATM. Dengan muka berkerut seribu,diserahkannya duit tersebut padaku. Heh,mana mungkin dia berani membantah? Kalau dia buat begitu,kuharamkan tangannya menyentuh stereng keretaku ini lagi!
Perangai adikku itu sudah penuh dalam poket seluarku ini. Selama ini,ke hulu ke hilir dengan buah hatinya,keretaku itu sudah bertukar tuan melainkan pada gerannya saja. Kali ini,biar ku ajar dia sedikit. Sekurang-kurangnya dia tahu,bukan senang hendak menyerahkan wang begitu sahaja pada orang. Perlu ada semangat yang kuat. Kalau tidak,mahu bertumbuk!
Hari ini aku bercuti dan petang nanti,aku akan mempertemukan si dia dengan keluarga ku sebelum aku menjenguk keluarganya pula. Berkenalan dengan bakal mertua. Seronok tidak terkata. Rasa mahu melayang pergi mendapatkannya. Tapi,aku perlu berwaspada. Bimbang nanti datang pula saman ekor atau kepala,aku kena lunaskan sendiri.
Kena berjimat sekarang. Dah nak kahwin,kan?

Nur Nabila
Dadaku berdegup kencang. Denyutan nadi dalam seminit,sudah tidak terkira lagi. Ada masanya,aku rasa bagaikan mahu pitam. Sesekali memandang jam di pergelangan tangan kemudian membandingkan pula dengan yang tertera di skrin computer,terasa begitu cepat masa beredar. Bertambah kecut jadinya. Sebentar lagi aku akan bertemu dengan keluarga ‘bakal’ku itu. Mudah-mudahan tidak akan timbul sebarang masalah. Kenapalah masa bergerak terlalu pantas? Dadaku ini rasa mahu pecah dek rasa gemuruh. Baik aku pandang jam yang tergantung di dinding kaunter,. Melihat jarumnya yang kaku tidak bergerak,sekurang-kurangnya lega sedikit rasa hatiku. Maklumlah,jam itu sudah lama berhenti memakan bateri!
Aku sudah berteman sekarang! Rasa macam tidak percaya…namun itulah hakikatnya. Aku ini tidak ada kepandaian,jauh sekali dari bijak bistari. Aku bekerja sekadar meringankan beban keluarga. Adik-adik masih ramai yang bersekolah. Pasti wang gaji ayah menyusut dengan cepat bagi menampung pengajian mereka. Jadi,aku tidak mahu menambah beban tersebut. Setakat baju baru,alat kelengkapan harianku serta sedikit tabungan,baki gaji ini masih boleh aku gunakan untuk menambah kekurangan ayah serba sedikit.Tidaklah banyak tapi,bolehlah!
Dan sekarang,jika ada jodohku dengan si dia…aku tidak mahu menyusahkan ayah. Aku akan cuba untuk menampung sendiri perbelanjaannya nanti. Walaupun tidak se gah Dato’ Siti atau Mawi yang ditaja ramai pihak, aku akan pastikan hari bahagiaku nanti,akan dikenang orang sampai bila-bila.
Err…ada sesiapa yang sudi menaja?
***
“Nabila…lu bila mau kawin? Potong lembu ka?”wajah station masternya itu direnung lama sehingga lelaki tionghua separuh botak dan berperut gendut itu mula menggelabah dipandang semacam. Nabila mengulum senyum.
“Lagi satu bulanlah, Mr.Tan. Lembu tak ada,ayam saja. Kalau Mr. Tan mahu sponsor lembu…boleh juga”,pandai betul mahu mengambil kesempatan.
“Saya sponsor lembu ka? Kalau itu macam,lu kawin sama sayalah!” Pulak…
“Saya tak suka orang kurang rambut,perut besar. Kalau mau tunggu rambut Mr Tan tumbuh, perut tu kecil semula,saya pun sudah tua”seloroh Nabila kemudian ketawa melihat bosnya itu meraba-raba kepala dan perut besarnya. “Nanti,jangan lupa saya punya hadiah,tau?” sambung gadis itu lagi. Advance betul bakal pengantin. Hadiah pun boleh minta sendiri.
“Apa lu mau? Kasi taulah…senang kita mau beri” Gadis itu ternganga. Boleh ke? Tidak salah ke? Betul boleh beri ni?
“Serius Mr. Tan? Kalau saya minta hadiah kawin,Mr. Tan boleh beri?. Tak tipu ni?” Dada Nabila berdegup-degup. Impian untuk menjadikan perkahwinannya akan dikenang orang,akan terlaksana andai bosnya itu tidak bercabang lidah.
Melihat sengih lelaki cina itu yang sungguh lebar buat pertama kalinya,Nabila menjerit keseronokan. Terlompat-lompat dia mengelilingi station master yang sedang tertawa di kerusinya itu. Terlupa seketika yang dia masih dalam tugas. Beberapa orang penumpang yang sedang menunggu bas,tertoleh-toleh memandang ke arah mereka.
Keterujaan Nabila semakin bertambah mendengar nada dering ‘I’m yours’ berlagu dari dalam beg tangannya. Sebaik salam bersambut,sengih Nabila makin melebar apabila mendengar Fazly merangka pelan untuk keesokan hari.
“Sayang,pagi esok tunggu abang kat rumah. Kita keluar sekejap tempah baju di butik pengantin” Jadual kerja tunangannya itu sudah dihafalnya.
“Okay,tapi sayang nak pakai warna hijau lumut…boleh tak?”rayu Nabila lembut,dalam usaha hendak mencairkan hati lelaki itu. Terdengar olehnya,Fazly ketawa lepas.
“Boleh…boleh,pakai warna apa pun tak mengapa. Esok kita pilih,okay?” Memang dia lelaki yang mudah bertolak ansur jika kena caranya.
Nabila rasa rahangnya sudah mula lenguh dek kerana senyum yang tidak putus-putus!
4
Nur Nabila
Sedihnya…Itulah yang kurasakan sekarang. Pelamin anganku musnah. Tidakku sangka sama sekali,dia sanggup buat begitu. Selama ini kusangkakan tunangku itu seorang yang bertimbangrasa. Rupa-rupanya…
Lagi dua minggu majlis kami akan berlangsung namun ini pula yang terjadi. Hadiah dari station master yang kuterima minggu lepas sangkaku dapat menggembirakan kami berdua. Rupa-rupanya,hanya aku yang beria-ia tetapi tidak pada tunangku itu. Sampainya hati…
Bagaimana sekarang? Hajatku tidak kesampaian. Mungkin perkahwinan ku ini hanya akan menjadi sebahagian dari perkahwinan sebelum ini,yang pernah orang lain lalui. Tidak ada istimewanya. Tidak akan dikenang orang sampai bilapun.
Impian tidak kesampaian…

Ahmad Fazly
Geram! Memang aku geram! Tempoh tidak sampai sebulan,baru tunangku membuka mulutnya. Sebelum ini,dia tidak pernah membincangkan hal tersebut. Bila aku tanya,dia senyum saja. Malu-malu…
Kenapa tidak mahu berbincang denganku? Bukankah dalam sesebuah ikatan,komunikasi itu sangat penting? Semalam,bila aku berceramah dengannya tentang pentingnya perbincangan,dia diam saja. Walaupun begitu,jelas di mataku air mukanya yang mengeruh. Kalau ikut hatiku,sepanjang jalan menghantarnya pulang dari butik semalam,mahu ku ulang ceramah motivasi tersebut namun tidak sampai hati pula bila melihatkan matanya yang sudah digenangi air. Tersentuh agaknya bila permintaan tersebut,ku tolak bulat-bulat.
Sejak semalam dia masih belum menelefonku dan aku pula masih tiada hati hendak menghubunginya. Biarlah dulu…
***
“Sayang,kenapa lama tak telefon abang?” Akhirnya Fazly akur,tanpa wanita itu,dia jadi tidak tentu arah. Makan tidak kenyang,tidur enggan lena. Tiga hari menunggu Nabila menghubungi namun hampa dan akhirnya dia mengalah.
“Tak tau nak cakap apa”mendatar suara Nabila. Tidak lagi teruja macam selalu.
“Marah lagi?” gadis itu tidak bersuara. Fazly faham maksudnya. Dia masih marah!
“Abang minta maaf. Bukan abang tak mahu ikutkan kemahuan sayang tu,tapi…”
“Tapi apa?”,pintas Nabila segera,ingin mendengar alasan lelaki tersebut. Sudah lama dia merencanakan hal itu dalam diam-diam namun sebaik saja diutarakan,ditolak pula mentah-mentah tanpa sebarang alasan.
“Abang sebenarnya sudah ada rancangan lain” jelas Fazly teragak-agak,bimbangkan penerimaan gadis itu.
“Rancangan lain? Apa tu?” Suaranya kembali teruja…

5
Ahmad Fazly
Akhirnya masa itupun tiba juga. Bergemuruh dadaku ini sukar untuk kuselindungkan lebih-lebih lagi di hadapan adikku yang sangat ‘prihatin’ itu. Terima kasih banyak-banyak kerana sering beraksi sebagai Tuan Kadi yang tidak bertauliah. Menggesa aku supaya berlatih mengakad kerana bimbang tersilap. Kemudian memomokkan aku dengan cerita-cerita basi tentang mempelai lelaki yang perlu dimandikan bawah tangga kerana gagal melafaz akad. Rasanya,mahu aku tendang dia keluar…biar bergolek ke tangga!
Selepas ini,kami akan melalu frasa baru dalam hidup. Memulakan hidup berkeluarga di rumah yang baru kami beli bersama. Kemudian,andai ada rezeki kami…menambah pula bilangan ahli keluarga. Bakal isteriku itu hanya mahukan sepasang cahaya mata walaupun keinginanku sebenarnya lebih lagi. Tetapi,aku tidak mahu menggesa kerana yang bakal bertarung nyawa nanti adalah dia. Aku kasihan padanya…
Nur Nabila
Berdebarnya hatiku ini…Sukar sekali melelapkan mata. Tidak ku sangka-sangka,beberapa hari lagi aku bakal jadi suri lelaki itu. Sungguh tidak aku duga sama sekali,pertemuan yang tidak sampai 6 bulan ini akan diikat dengan tali perkahwinan. Singkat sekali rasanya namun apa boleh buat,itu semua permintaan keluarga kami yang mahukan perhubungan ini disahkan segera. Aku juga mahu begitu kerana ingin merasai nikmat bercinta selepas berkahwin.
Dalam tempoh tidak sampai setengah tahun ini,hanya beberapa kali saja kami bertemu di luar waktu bekerja. Pertama,ketika aku dibawa bertemu keluarganya kemudian selang beberapa hari,dia pula datang ke rumahku di kampung.
Kami juga hanya keluar untuk membeli kelengkapan pertunangan dan perkahwinan. Selebihnya,hanya berhubungan di talian setiap hari. Pasti berbeza rasanya bila sudah disatukan dalam situasi kami yang masih malu-malu.
Ah,tidak sabar hendak melaluinya!
***
“Suka tak?”,bisik Fazly perlahan ke telinga isterinya yang begitu manis di sisi. Nabila tunduk malu-malu. Lidah kelu hendak berkata-kata kerana dadanya sedang bergendang debar. Rapatnya kedudukan mereka berdua membuatkan tangan wanita itu basah dek peluh.
“Macam ni,lagi baguskan? Lagi grand dan glamour…kalah Mawi tu” sambung Fazly lagi. Nabila ketawa perlahan sambil menutup mulut ala-ala heroin melayu lama. Heroin sekarang,semua ketawa lepas!
“Terima kasih bang. Sayang suka sangat!”bisiknya semula. Kedua pengapit di sebelah mempelai buat-buat tidak nampak. Tapi Fazly tahu,sekejap lagi mesti teruk dia kena kutuk dengan adiknya itu.
Pasti majlisnya itu akan jadi sebutan ramai seperti yang dia angankan selama ini. Sungguh Nabila tidak menyangka,perancangan Fazly jauh lebih besar darinya. Sebaik saja Mr Tan sudi menaja pakej pelamin yang akan menghiasi stesen bas tempat dia bekerja,hati Nabila melonjak teruja. Pasti seronok bersanding di terminal tempat kerjanya itu tapi Fazly menolaknya bulat-bulat!
Dan hari ini,dia betul-betul tidak sangka,mereka sedang diarak di dalam bas ekspress menuju ke Plaza Tol Bentong!
Dalam bas itu,penuh dengan sanak saudara dan rakan sekerja bersama dengan kumpulan kompang yang masih belum berhenti berdendang. Sejuk dingin tangan mempelai berdua itu dek kerana penghawa dingin ditambah pula rasa teruja sebagai raja sehari.
“Lepas ni,jangan merajuk-merajuk lagi,tau? Abang tak sanggup nak berjauhan dengan sayang. Abang akan cuba pastikan,segala kemahuan sayang dipenuhi. Kan dah bukti ni? Pasti lepas ni...orang akan kenang majlis kita sampai bila-bila...betul tak?”tangan isterinya itu diramas lembut. Langsung tidak dipedulikannya,pengapit yang menjeling-jeling.
Plaza Tol Bentong sedang menanti. Mereka akan disandingkan di kawasan R&R di sana beserta dengan kehadiran sanak saudara dan rakan sekerja. Terima kasih buat bos yang baik hati sudi menaja dua buah bas ekspress. Sungguh,cinta mereka bersemi di sini!

Tiada ulasan: