Followers


Jumaat, 3 Disember 2010

Seksis ( Diari Seorang Isteri )

1
26hb.Oktober 2010 (Selasa)
Dear diari,
Hari ini aku betul-betul meradang. Buat pertama kali dalam sejarah berumahtangga,abang memarahiku di depan anak-anak. Sudah lupakah akan janji-janjinya dahulu? Suarakan ketidakpuasan hati antara kami, hanya di dalam bilik? Tetapi,kenapa dia tega bersikap begitu?
Puncanya tidaklah sebesar mana. Ketika kami duduk menonton tv,aku menegur tentang tingkahnya yang suka sekali meninggalkan cawan bekas minumannya di atas meja kaca ruang tamu rumah kami. Berat sangatkah hendak di bawa ke dapur? Perlukah aku juga yang melakukannya? Bekas melekit pada kaca itu meninggalkan rupa buruk jika lambat dicuci. Bila aku tegur,cepat saja dia menjawab. Katanya,
“Hal kecil macam ni pun,nak bising. Awak tolonglah angkat…Membebel aje!” Amboi,bagai mahu terkeluar ulas mataku melihat dia duduk bersilang kaki. Siap digoyang-goyangkan lagi.
Kemudian,tiba-tiba sahaja drama di tv bertukar ke perlawanan bolasepak. Terkebil-kebil mata kedua anak dara sunti kami yang turut berada di situ. Bila aku desak supaya menukar semula,dia marah aku lagi…
“Ish… awak ni,makin kuat berleter sekarang,ya? Saya nak tengok tv pun,tak senang. Itu salah,ini tak kena. Kalau tak nak tengok,pergi masuk bilik. Membebel saja kat sini,saya tak boleh fokus,tau tak?” Hah?
Apa dia cakap? Tak senang nak tengok tv? Padahal,sejak balik kerja petang tadi,itulah saja yang dihadapnya. Memang betul-betul buat aku angin!
Tolong aku…badan aku dah menggigil ni…Rasa hendak baham orang saja…Arghhh!

2
27hb Oktober 2010 (Rabu)
Sekarang sudah pukul 11 malam. Semuanya sudah lena. Tinggal aku seorang,hendak mencurahkan rahsia hati. Hari ini,suami aku terkena! Nak tau?
Hmm…macamana hendak cerita,ye? Aku masih lagi dalam mood gelihati. Asyik tersengih sepanjang petang hingga ke malam. Bukan saja kerana dapat wang belanja malahan hutangku dengan benggali kain sudah langsai. Siapa yang bayar? Bos lah...hehehe..
Suamiku menerima gajinya hari ini. Hal itu, memang dia tidak pernah berahsia. Aku sudah tahu sejak kami berumahtangga 9 tahun lalu. Tapi masalahnya,walau segudang wang yang dia keluarkan dari mesin atm,aku terpaksa merayu untuk menikmatinya sedikit. Membeli barang-barang keperluan untuk diriku sendiri. Namun katanya,
“Alah…buat apa nak pegang duit? Bila kita shoping barang dapur,awak ambik aje barang-barang yang awak hendak kat situ. Dalam pasaraya tu,semua ada!. Emak,ayah dengan adik-beradik saja yang tak ada. Saya bagi duit pasar saja,cukuplah…” Tapi,dalam pasaraya mana ada jual novel!
Dan disebabkan susah sangat,mahu atau tidak…terpaksalah aku buka loan dengan benggali jual kain. Itupun untuk menukar langsir baru di rumah kami. Hendak menunggu dia membeli, jangan harap. Enam tahun tinggal di rumah sendiri,baru dua warna menghiasi tingkap rumah kami dengan corak yang sama. Macam tidak ada patern lain!
Petang tadi ketika benggali itu datang,aku buat-buat sibuk di dapur. Dengan muka cemberut mengalahkan limau kecut,abang terpaksa juga menghulurkan wangnya. Dapat kubayangkan tangan suamiku yang menggigil-gigil, saat menghulurkan duit kepada benggali berjambang tersebut. Bukan sedikit-sedikit,tapi langsai semua. Agaknya,dia tidak mahu lagi melihat muka benggali tu terjengul di pintu rumah kami. Bila dia tanya,kenapa aku berhutang. Aku jawab,
“Habis,abang tak mahu bagi saya duit…Kalau tidak,boleh saya beli kain sendiri,jahit sendiri. Benggali tu,bukan ada jual kain meter. Semua kain pasang saja. Kalau nak,kena tempah terus dengan dia…”
Bila abang keluarkan walletnya, senyum aku sudah sampai telinga! Terbayang di kepala senarai novel yang bakal aku beli!

3
28hb Oktober 2010 (Rabu)
My diari…hari ini aku kena marah lagi. Sedihlah juga tapi nasib baik bukan depan anak-anak. Abang tunggu aku siap solat isyak kemudian baru dia buka cerita. Aku buat muka selamba tapi dalam hati,Allah saja yang tahu. Maklumlah,salah sendiri walaupun bukan salah aku sepenuhnya…
Petang tadi,aku memandu ke sekolah. Hendak menjemput anak sulungku pulang dari kegiatan kokorikulum di sekolahnya. Ketika sampai di simpang, kereta kancil di depanku tiba-tiba berhenti. Enjinnya mati. Aku yang kelam kabut di belakang sempat menekan brek tapi tercium juga belakang kereta warna putih di hadapanku itu. Terkemik sedikit…dan tadi,aku terpaksa mendengar leteran abang yang langsung tidak mempedulikan muka kasihanku.
“Huh,perempuan bawak kereta…macam tu lah” Mukadimah abang yang sangat sinis. Aku tunduk saja tapi dalam hati tetap mengomel sendiri.
“Sondol sana,sondol sini. Bawa macam siput pun,boleh langgar kereta orang. Kalau laju macam Alex Yoong tu,tak hairanlah juga” dia jeling aku,langsung tidak mahu bersimpati.
“Tapi,bukan salah saya”,sempat lagi aku membela diri namun,jelingannya kali ini lebih tajam.
“Menjawab memang pandai tapi lesen memandu dah dua tahun,masih tak pandai-pandai lagi. Susah betullah…” Rengusnya. Sedihkan?
Memang sedih sangat. Abang macam sudah lupa,siapa yang beria-ia menyuruh aku mendapatkan lesen kereta dahulu. Bukan dia ke?

4
29hb Oktober 2010 (Khamis)
Diariku sayang,
Malam ini,tidak boleh tulis panjang-panjang. Semua tidur awal jadi,aku pun mahu masuk tidur juga. Tambahan lagi,malam ini malam jumaat…jadi,faham-faham sendiri (mood romantik!)
Abang dah panggil tu…bye!

5
4hb November 2010 (Selasa)
Diari kesayanganku,
Rindu aku tak? Maaf…aku balik kampung empat hari kerana bercuti dan memenuhi undangan walimatul urus kedua belah keluarga kami. Kasihan diariku ini,terbiar kosong empat muka surat.
Aku berselisih faham dengan abang! Sebab? Apalagi,cemburulah…
Sejak dalam kereta waktu pulang dari kampung petang tadi,dia sudah menampakkan protesnya kepadaku. Bila aku tanya,dia diam tidak mahu menjawab tapi,bila anak-anak menyoal,panjang lebar jawapan yang dia berikan. Kecil hatiku! Sob! Sob!..Sedih tau..
Hari jumaat dan sabtu,kami di Terengganu(rumah mertuaku) kerana ada majlis pertunangan adik abang,Rahimah. Kebetulan pula pasangannya itu,adik kepada bekas tunangan abang dulu jadi, sudah tentu bakal isteri tak jadinya itu turut hadir. Dia sudah bergelar janda beranak tiga.
Amboi,bukan main lagi. Bercerita panjang lebar,bergambar kenangan malahan sudah bertukar nombor telefon. Kepalaku mula berasap,angin lintang sudah mula berhembus sepoi-sepoi bahasa. Bila aku tanya,
“Ah…,itupun nak cemburu,ke?”abang soal aku semula. Gila! Siapa tidak cemburu,memang kayu!
Akupun cuba lah untuk tidak menampakkan sangat perasaanku yang bergelora ketika itu tapi tetap gagal. Melihat abang begitu riang,aku bawa diri ke bilik kemudian menangis sendiri. Abang dah tak sayang aku ke?
Hari ahad dan isnin,kami pulang ke Pahang yakni rumah emak dan ayahku. Sudahpun dinamakan kenduri,pasti ramai yang hadir di rumah pengantin yang diraikan termasuklah seseorang yang pernah mengisi hatiku ini suatu masa dulu. Cerita dah lama,kan? Aku pun sudah tidak rasa apa-apa lagi.
Namun,suamiku itu sudah berprasangka yang tidak-tidak. Aku yang jenis meriah dan ramah mulut ini,dipandang ala-ala melihat perempuan kaberet! Jelingannya sinis,menyentap ke lubuk hati!
Bukan aku tidak cuba mengelak tetapi ‘bekas’ ku itu asyik mengekor saja. Ada saja soalan hendak ditanya. Hinggakan nombor telefonpun dia minta aku berikan tapi semuanya ku tolak dengan baik. Aku ini jenis yang setia pada kasih nan satu. Dulu,dia yang meninggalkanku untuk mengejar cinta gadis lain. Mungkin sebab itu,abang nampak aku terlebih rapat pula dengan si dia. Padahal sebenarnya…ah,tuhan saja yang tahu.
Dan sebelum tidur tadi,kami bersemuka. Aku mohon ampun dari abang andai dia terguris rasa. Apa nak buat,kan? Sebagai isteri,terpaksalah mengalah…takut masuk neraka!
Tapi,bab yang paling aku suka…abang telah padamkan nombor telefon bekas tunangannya itu atas permintaanku. Katanya,
“Abang ambil ni pun,bukan sebab apa. Dia minta abang tolong carikan anaknya kerja di tempat abang tu. Tapi tak mengapalah…kalau ada peluang kerja nanti,abang beritahu saja pada tunang Imah”
Hmm…nasib baik dapat diselesaikan. Kalau tak…?

6
9hb November 2010 (Isnin)
5 hari aku tidak menulis. Maafkan aku! Aku tak larat…demam!
Walaupun pening-pening begini,terpaksa juga bangun mengemaskan rumah dan memasak. Kerja suri rumah memang tidak pernah habis. Sepatutnya, sebaik saja berkahwin…semua suami kena buat akaun bank untuk isteri. Setiap bulan bayar gaji…tapi kalau buat begitu,di mana lagi hendak dikutip pahala?
Dah lah…aku tak larat. Pening!

7
11hb November (Khamis)
Dear diari,
Aku sudah sihat. Hari ini,ada Hari Interaksi Ibu Bapa Dan Guru-Guru di sekolah anakku. Aku ajak abang ke sekolah untuk melihat pencapaian pembelajaran anak selama setahun ini tapi dia menolak. Katanya,
“Awak seorang yang pergi,cukuplah. Kan abang kerja,ni…” Geram sungguh aku!
Sudah seminggu surat dari sekolah itu sampai ke tangannya. Kenapa tidak minta cuti dari bosnya itu? Pelajaran anak tidak pentingkah?
“Awak kan,emaknya?…Yang selalu ada dengan dia?. Awak yang patut lebih tahu pasal sekolah dia tu…Nanti,ceritalah pada abang” Eh,macam tu ke? Memanglah aku ni,emak. Tapi,ayahnya siapa?
“Tapi bang,kan ke namanya Hari Interaksi Ibu Bapa? Bukan ibu saja…” Aku tidak mahu kalah. Kertas sekeping itu kuhulur ke mukanya. Dia hanya berdengus sambil menarik selimut. Nasib…nasib.

8
14hb November 2010 (Ahad)
Sekarang sudah pukul 11 malam. Aku tidak dapat tidur,mungkin kerana sudah terlebih tidur pada sebelah siang. Pelik juga aku dengan tingkah abang siang tadi. Tiba-tiba saja ajak aku tidur sebelah petang bersama-sama. Selalunya kalau hari cuti,pantang letak kepala…atas sofa ruang tamu pun boleh jadi tempat dia melelapkan mata. Akupun,dia sudah tidak ingat lagi…
Esok,hari kecemerlangan di sekolah anak. Kedua-dua cahaya mataku berjaya dalam peperiksaan akhir tahun dan akan menerima hadiah. Ibu bapa diminta mengiringi anak-anak naik ke pentas. Petang tadi aku merengek dengan abang,minta wang untuk mengambil baju baruku yang sudah lama ku tempah. Esok,aku hendak naik atas stage,tau? Mana boleh pakai baju buruk?
“Amboi,bergaya sakan! Anak yang nak ambil hadiah,dia pulak yang lebih”ujar abang. Aku buat juga muka kasihan. Ku kelip-kelipkan mata di depannya,mohon simpatilah konon!
Tadi sebelum tidur,aku mengadap seterika berjam-jam…menggosok pakaian anak-anak dan paling utama,baju baruku yang akan dipadankan dengan selendang. Serba biru! Wah..
Tiba-tiba,abang datang dengan menjinjit sehelai seluar slack dan kemeja lengan panjang biru gelap. Akupun,tanpa banyak soal,seterika saja. Pada fikiranku,tentu abang ada urusannya yang tersendiri, esok.
Tapi,aku jadi hairan pula bila abang tiba-tiba bertenggek di muka pintu,mula menggilap kasut kulitnya hingga berkilat. Pelik bercampur curiga!
Tadi pakaian,kemudian kasut pula…Ke mana abang mahu pergi sebenarnya?

9
15hb November 2010 (Isnin)
Diariku sayang,
Letih betul hari ni…Matapun sudah berat tapi,aku tetap juga mahu menulis di sini. Kejadian melucukan yang terjadi di sekolah pagi tadi.
Seperti yang tertera di atas kertas jemputan,majlis di sekolah anak akan bermula pada pukul 8.30 pagi. Tapi,biasalah…Selagi tidak mencecah pukul 9.00 atau setengah jam seterusnya,tidak mungkin acara akan berjalan. Tipikal,janji melayu…kata orang.
Jadi,akupun menyibukkan diri di rumah melakukan rutin seperti biasa sehinggalah jam mencecah pukul 9.00. Segera aku bersiap dan bertolak ke sekolah tapi malangnya tempat meletak kenderaan yang dikhaskan untuk pelawat, sudah penuh. Terpaksalah aku berpusing dua tiga kali mencari parking sehinggalah Unserku itu selamat berehat di petak paling jauh sekali...Huh,letih!
Jarak antara parking lot dengan dewan sekolah agak jauh juga. Mahu atau tidak,terpaksalah aku menapak dengan heel 3 inci. Maklumlah,mahu bergaya ala-ala model di pentas nanti…
Namun, malang sekali nasib ku juga anak-anak. Sebaik saja aku tiba, juruacara sudah mengumumkan nama mereka berdua dari tahun 1 dan 3. Aku hanya sempat melihat anak keduaku turun dari tangga pentas dengan hadiah dan sijil di tangan. Kasihan anak-anakku,tiada siapa yang menemani mereka. Kasihan pada aku juga…sia-sia bergaya! Itulah,niat tak ikhlas,kan?
Sedang aku tercegat berdiri memandang anak-anak orang lain yang naik ke pentas dengan ibu-bapa masing-masing,bahuku dicuit dari belakang. Terkejut beserta hairan namun bila ku toleh ke belakang,aku tambah terkejut bercampur gelihati.
Abang?
Bukan main suamiku itu,bergaya dengan pakaian dan kasut yang digilapnya semalam. Hehehe…Sangkanya anak-anak kami masih belum naik ke pentas lagi. Bolehlah dia naik sekali dan aku pula sekali tetapi hasrat tak kesampaian. Kasihan juga pada abang…
Yang aku geram tu…pergi jumpa cikgu tak mahu. Naik atas stage tu,nak pulak? Berangan nak jadi artis ke?

10
16hb November (Selasa)
Cuti sekolah bermula. Ringan sedikit kerja-kerjaku di rumah. Ada anak yang mahu membantu. Hendak harapkan abang…
Dia masih lagi begitu. Meninggalkan cawan minuman di meja kaca, setokin di sumbat ke dalam kasut, kain pelekatnya terlepek di lantai masih lagi bergulung,seluar kecilnya di tarik sekali dengan seluar panjang membuatkan aku sukar mahu mengeluarkannya,hanya dia yang menguasai remote tv dan macam-macam lagi.
Kadang-kadang aku fikir,menjaga anak dara berdua itu lebih mudah. Walau banyak kali aku tegur,begitulah juga dibuatnya. Lagaknya mahu mengarah saja…
Apa boleh buat? Tapi,sesekali aku bersuara…dia mengalah juga. Mungkin sedar akan kesalahan sendiri cuma kesedarannya tidak kekal lama. Dia pasti mengulanginya semula..
Geram betul!

11

17hb November 2010 (Rabu)
Dear diari,
Selamat Hari Raya Aidil Adha…
Tadi,sebelum tidur abang membisikkan ucapan itu di telinga. Ake sengih dalam gelap. Betul abang dah buang tebiat! Selalunya,mahu sebut Happy Birthday pada aku pun susah.
“Kita ni,tak mahu tambah ahli keluarga ke? Along dan adik dah makin besar. Kalau dapat yang lelaki pula,bagus juga”,bisik abang lagi.
Oh…,patutlah baik sangat. Ada udang di sebalik batu.
“Kalau dapat perempuan lagi?”dugaku.
“Beranak lagi…dan lagi…sampai dapat lelaki” Luas mataku terbeliak dalam gelap. Apa?
Dalam samar malam,aku nampak wajah abang yang sedang ketawa. Dagu tirusnya semakin memanjang. Geram aku melihatnya. Rasa mahu ku gigit-gigit dagunya itu!
Di saat abang menarik aku dalam pelukannya,sempat aku memohon dalam diam. Kali ini kurniakanlah aku zuriat lelaki yang soleh,pelengkap rumahtangga. Sekurang-kurangnya,aku tidak perlu lagi menempuh pengalaman melahirkan yang berulang kali. Takut!
Opss..aku terpaksa berhenti dahulu. Abang dah terjaga semula…mungkin menyedari aku tiada di sisinya. Nampaknya,mood romantik masih berlegar di dalam bilikku ini. Esok,aku tulis semula…

TAMAT

Tiada ulasan: