Followers


Khamis, 13 Oktober 2011

Joran Nan Sebatang

1
Hujan masih belum mahu berhenti. Titis-titis air yang lahir dari kegelapan awan berguguran lebat hingga mengaburkan pandangan serta menghilangkan warna merah senja. Tebing sungai pasti ada yang runtuh serta menumbangkan pohon-pohon kecil di pinggirannya kemudian hanyut deras dialirkan sungai yang keruh bercampur tanah dan lumpur hingga ke hilir.

Pak Akob sudah tidak mampu mengira waktu. Kaki tuanya itu digagahinya melangkah perlahan menyusur tebing sungai bertemankan sekaki payung yang patah tangkainya. Lampu suluh yang di bawa menghulurkan sedikit bantuan meski kadang-kadang kakinya tersadung batu dan akar pokok kerana gagal melihat dengan jelas.

‘Di mana anakku?’,soalan itu bergumpalan dalam dadanya,berpusar-pusar dan menjerut tangkai hati orang tua itu. Gerun sekali memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang tidak henti menerpa ke akalnya.

“Uda!”

Beberapa kali dijeritkan nama itu namun suara Pak Akop hilang di bawa hujan.

‘Di mana kau,nak?’,hatinya terus diamuk bimbang. Tidak mungkin dia dapat mencari dalam keadaan begini tanpa pertolongan sesiapa. Gelap malam semakin memekat ditambah lagi hujan yang sedang menggila. Dia perlu segera mendapatkan bantuan.

Menyusur denai becak yang menghala ke jalan utama kampung, Pak Akob diasak sesal tiba-tiba. Petang tadi, kalaulah dia mendengar rungutan isterinya tentang Uda yang masih belum pulang bermain, tentu pencariannya tidak sesukar begini. Kalaulah dia menyedari sejak awal akan ketiadaan joran sebatang itu, pasti Uda sudah diturutnya ke sungai. Kalaulah joran itu tidak diterimanya dulu, mungkin perkara ini tidak akan berlaku. Ah,begitu banyaknya kalau hingga Pak Akob jadi lupa akan ketentuan takdir.

Skrett!

“Pak Akob? Kenapa?”

Bunyi motosikal dibrek seiring dengan suara menyapa yang dikenalinya, mendadak menyapu lamunan. Mail anak arwah Busu Deris. Mereka berdua sering bertemu di tebing sungai dengan tujuan yang sama. Menebak lubuk bersarang ikan dengan harapan tinggi melangit, agar berhasil menyinggah rezeki. Melihat beberapa batang joran yang berceracak di dalam bakul motosikal itu, hati Pak Akob kembali diusik hiba.

“Uda hilang.”

Matanya masih belum lepas dari memandang batang-batang joran tersebut. Dari sinilah datangnya joran yang sebatang miliknya itu menggantikan joran buluh beruas lima yang sudah lama menabur khidmat. Benar sungguh kata orang, sudah dapat gading bertuah, tanduk pun tidak berguna lagi. Pak Akob pun sudah lupa, entah di mana gerangannya joran buluh beruas limanya itu sudah dicampaknya.

“Mari!”

Gesaan Mail singgah di telinga menyedarkan orang tua itu agar perlu bertindak pantas. Payung buruknya dilipat kemudian bertenggek di belakang motosikal Mail untuk mencari bantuan.

‘Anakku masih hilang!’ raung hatinya lagi.
***

Hari itu tiada bezanya dari semalam. Dia kembali ke tebing sungai dengan harapan menggunung tinggi. Duduk beralaskan rumput hijau setelah beberapa kali beralih tempat mencari lubuk yang diyakini tempat ikan bermain. Berjarak beberapa depa darinya, ada anak muda berbaju merah bertopi hitam sedang mengatur joran-joran gentian kaca yang sudah diumpan. Batang-batang joran itu disangga dengan ranting kayu terpacak kukuh ke tanah. Berbanding dengan dirinya, hanya sebatang joran buluh beruas lima di tangan sesekali turut bergegar bahana diterpa pusaran air. Yang mana kerap mengelirukan diri akan sambaran rezeki di mata pancing.

‘Ah! Mudah-mudahan rezeki hari ini lebih baik dari semalam.’ detak hati kecilnya. Sekilas, imbasan wajah-wajah mulus yang berselera menjamah hidangan malam berlaukkan anak-anak ikan sembilang sebesar tiga jari mulai mengacah ingatan. Hatinya terkocak hiba.

Kasihan anak-anak…lauk selalu tidak pernah lebih dari itu. Sesekali dijemput orang ke majlis kenduri kendara, dihadap rezeki yang berlimpah itu dengan bersungguh hati. Seumpama tidak makan berbulan lamanya. Malu segan segalanya ditolak ke tepi. Namun jauh di sudut hati, terbit rasa terkilan kerana dirinya gagal memberi yang terbaik buat keluarga.

Tiba-tiba gegaran di joran buluh mematikan lamunannya. Perlahan-lahan, tangsi bingkas digulung. Sembari hati menyeru-menyeru agar ada sesuatu yang terlekat di hujungnya menggantikan umpan. Merkah senyum di ulas bibir tua itu tatkala melihat seekor lais menggelepar rakus sambil menahan bisa mata kail yang terlekat di muncung.

Mata tuanya yang semakin mengumpul kedut dapat meneka dirinya tentu sedang diintai, mungkin juga sedang dinilai dalam diam oleh pemuda berbaju merah itu namun sedikitpun tidak menjadi kudis baginya.

‘Pandanglah aku. Anak lais sebesar empat jari ini, sudah mampu membuat aku tersenyum senang namun tahukah kau, habuan tidak seberapa itu terlalu bermakna buat diriku sekeluarga?’ ucapnya dalam hati.

‘Lihatlah aku. Lihatlah gumpalan tangsi yang bergulung pada tin kosong ini. Pasti kau tertanya-tanya,masih ada lagikah kaedah seperti itu diguna pakai pada zaman manusia sudah tinggal di angkasa?’ sambung hatinya lagi

Namun kehadiran anak muda tersebut bersama sebatang joran biru di tangan menghairankannya sekaligus mematikan terus kata-kata yang terbit dari dalam hatinya itu. Terpinga-pinga dia memandang bahkan gagal memahami isyarat yang diberikan oleh pemuda bertopi hitam apabila menyorongkan joran biru tersebut ke tangannya.

“Saya ikhlas.”

Sepotong ayat itu bagai meresap jauh ke dalam hati. Joran biru dipandang lama. Mampukah joran itu mendatang rezeki yang lebih kepada dia sekeluarga? Bukankah rezeki terletak pada ketentuan tuhan?

“Cubalah! Mungkin ikannya besar sedikit.”

Hati tuanya akur dengan kata-kata itu. Joran gentian kaca tersebut sudah tentu dapat menyelam ke lubuk ikan paling dalam berbanding joran buluh beruas lima miliknya. Dan umpan cacing hidup di hujung kail tentunya mampu mengundang kehadiran mangsa yang lebih besar berbanding anak-anak lais dan seluang yang sering termakan umpan di mata kail joran buluhnya itu.

Sekilas,gambaran anak-anak bersorak gembira meraikan hasil tangkapan yang luar dari kebiasaan,merekah senyum di bibirnya. Joran biru itu disambut dengan rasa syukur di hati. Tiada kata-kata yang mampu dilontarkan namun pandangan berterima kasih dengan ulas mata yang bergenang air dek keharuan itu semuga dapat dimengerti oleh anak muda berbaju merah. Dan petang tersebut, seperti yang diharapkan, raga buruknya sarat dengan hasil pancingan. Cukup untuk hidangan mereka sekeluarga sehari dua. Dia benar-benar berterima kasih. Sejak itu, joran biru nan sebatang menjadi teman setia…

***
“Akob! Akob!” Tok Empat Zali dan Lebai Dolah tergesa-gesa menghampiri. Di tebing sungai itu,kelihatan cahaya lampu suluh bersilang-silang. Suara memanggil-manggil nama Uda, bergema di sekitarnya. Pak Akob bangun berdiri mengharapkan sebarang berita, baik atau buruk sudah tidak jadi persoalan lagi. Halimah isterinya masih duduk memeluk lutut di bawah pohon ara. Hujan semakin mereda namun airmata isterinya masih lagi mengalir lebat.

“Ada jumpa, lebai?” melihat gelengan kepala lebai berkopiah putih tersebut, ngongoi Halimah semakin berlagu kencang.

‘Uda, di mana kau nak?’ hati Pak Akob menjerit lagi.

“Kita kena panggil penyelamat. Air deras sangat. Kita tak cukup alat.” saran Tok Empat Zali pula.

Pak Akob hanya mampu mengangguk tatkala mendengar usul lelaki berbadan gempal itu. Dia menyerahkan semuanya kepada budi bicara penduduk kampung. Pertolongan mereka sangat-sangat diharapkan. Orang tua hanya mampu memandang orang-orang kampung berkumpul setempat sebelum kedengaran suara tok empat mengarahkan salah seorang darinya membuat panggilan kecemasan. Namun tiba-tiba…

“Nanti!”

Mail anak arwah Busu Deris melaung dari atas denai. Motosikalnya tidak sempat ditongkat. Anak muda itu turun menggelongsor ke tebing mendapatkan orang kampung yang sedang berkumpul di situ. Kelihatannya pemuda itu sudah pulang ke rumah kerana pakaiannya sudahpun bertukar. Masing-masing jelas terpinga-pinga.

“Kita cari di lombong tinggal!”arahnya.

“Mail?”serak suara Pak Akob memohon kepastian.

“Percayalah. Nanti saya cerita.”

***
‘Anakku sudah tiada.’ detak hati kecilnya.

Anak itu sudah pergi meninggalkan mereka sekeluarga yang akan meneruskan hidup dalam keadaan serba kekurangan. Tiada lagi kelibat Uda di dalam rumah usang ini. Tidak akan ada lagi suara tawanya mengusik Acik dan Usu. Pasti Kak long juga tidak boleh lagi menyuruhnya mengangkut air di perigi. Angah pula sudah tiada teman bermain gasing atau layang-layang tatkala angin deras bertiup kencang.

Hati tuanya bergalau dengan rasa rindu yang mencengkam. Uda anaknya yang paling cergas tidak terbanding dengan usia sembilan tahun. Abangnya pun bukan tandingan sementelah lagi Angah mengidap lelah semenjak dari kecil. Walaupun tubuhnya rincing kurus, pergerakannya agak tangkas dan ringan tulang. Anak itulah yang sering menemaninya ke baruh bertanam pisang. Kadang-kadang menjadi kawan bersenda ketika menorah getah. Uda juga selalu menemankannya berjam-jam di tebing sungai memancing ikan.

‘Kasihan anakku.’

Hati tuanya merintih lagi apabila terbayangkan Uda disaat-saat terakhir hayatnya. Pasti bertarung habis-habisan untuk menyedut udara yang semakin menipis di dadanya. Mungkinkah anakku itu terbayangkan kami semua? Mungkinkah saat itu Uda sudah dapat melihat bayangan syurga yang menantinya? Hatinya tidak habis-habis berbicara.

Mana mungkin dia dapat melupakan tatkala jasad kecil yang sudah membengkak diangkat ke tebing lombong tinggal. Halimah sudah meraung-raung berteriak nama anak itu. Mujurlah ada jiran-jiran yang berusaha menenangkan. Kakinya sendiri sudah tidak dapat berdiri sempurna. Gigilannya masih terasa-rasa hingga ke saat ini.

Mail membuka cerita lara. Ketika pulang ke rumah seketika untuk melunaskan hajat, dia terpempam melihat joran biru nan sebatang itu tersangkut kembali di dinding rumahnya. Akibat diasak rasa hairan yang bukan sedikit, Malek adik si adik bongsu dicari bagi mendapatkan penjelasan. Melotot mata pemuda itu apabila dikhabarkan Uda tergelincir ke dalam lombong tatkala merebut joran biru dari tangan Malek yang tersalah menebak. Sangkanya anak Pak Akob itu berhasil mendapatkan joran biru tersebut dengan cara tidak halal. Walaupun Uda sudah berkali-kali menafikan joran itu dicuri, Malek tetap dengan pendiriannya. Disaat melihat Uda terkapai-kapai di dalam air, Malek dan dua rakan yang lain lintang pukang pulang ke rumah dengan mengunci mulut.

Hati tuanya terhiris lagi sebaik sahaja bola matanya singgah ke joran biru nan sebatang yang tersandar di tangga.

‘Joran itu menjadi penyebab kematian anakku!’ jerit hati kecilnya.

‘Bagaimana mungkin joran yang pernah meraih rezeki yang banyak itu menjadi sebab kematian?’ hatinya berbolak balik sendiri.

‘Kalau bukan kerana joran biru itu, pasti Uda masih hidup.’ protes nya dalam hati

‘Bukan begitu! Joran itu tiada daya. Hidup dan mati manusia, ketentuan tuhan yang tidak boleh diubah sesiapa.’ bangkang hatinya terus.

***
Pak Akob kembali ke tebing sungai yang mengalir lesu. Beralaskan rumput menghijau dan berlatarkan langit membiru, tali tangsi perlahan-lahan dijatuhkan ke air. Hari ini, seperti juga hari-hari kelmarin yang telah berlalu tiada bezanya bagi orang tua itu. Dia tetap juga mengharapkan raga buruknya menjadi tempat ikan menyinggah untuk santapan mereka sekeluarga.

Joran buluh beruas lima erat dalam genggaman. Dalam hatinya sudah dipasang ikrar, joran itu akan tetap berada di sisinya sampai bila-bila. Tiada lagi joran biru. Tiada lagi joran nan sebatang itu. Segala-galanya yang mengingatkan dia dengan kesedihan, ingin dilontar jauh-jauh. Biarlah ingatannya terhadap Uda hanya yang manis-manis sahaja. Senyum Uda, tawa Uda, gurau senda Uda dan canda Uda.

Joran nan sebatang itu akan membuatkan dia terkenang lambaian terakhir Uda, kesakitan Uda, penderitaan Uda dan wajah terakhir dari Uda sebelum liang dikambus.

“Uda, ayah rindu.”
TAMAT

Ramadhan Kali Ini...

KRINGGG! Tap!

Kelopak mata terasa dihempap batu. Aku tahu sekarang masa untuk bangun tapi…argh, kejap lagilah!

Mata kembali terpejam lantas menganyam mimpi yang tidak kesampaian. Jalan berkabus ku redah penuh waspada. Bimbang termasuk perangkap entah siapa-siapa. Tidak pernah ku lihat kabus setebal ini. Ada kebakarankah? Begitu hatiku tertanya-tanya.

Di hujung jalan yang kurasa amat panjang, kutemukan kunci pertanyaan. Ada sekumpulan manusia berbaris seraya menatang dulang-dulang berisi makanan yang masih panas, mungkin. Kerana aku melihat kepulan asap yang terbit dari makanan tersebut lah yang membentuk kabus tebal sebentar tadi. Ku cuba untuk menjengah ke dalam dulang-dulang tersebut, malangnya bertutup dengan kain jarang berwarna warni. Baunya! Ah, perutku kah yang bersenandung lagu keroncong itu?

Entah di mana silap, kaki tersadung tersalah langkah. Aku terjerembap. Tapi, badan tidak mencecah tanah! Ada sesuatu yang lembut dan selesa memangku kepala. Aku terdiam dikepung rasa selesa dan tenteram. Makanan berdulang-dulang sebentar tadi sudah tiada dalam ingatan. Yang ku mahu kini, usapan lembut di kepala persis anak kecil yang dibelai ibu.

“Lia, bangun sahur nak. Nanti tak sempat.”

Suara mendayu-dayu di telinga. Aku semakin mengecilkan diri dalam pangkuan hingga dapat ku rasa lutut yang hampir bertemu dada.

“Lia, bangun,” seru suara itu lagi. Aku jadi musykil pula. Siapa sebenarnya yang memanggil? Tangan siapakah yang mengusap? Pangkuan siapakah yang kutumpangi?

“Lia! Lia!”

Mak? Mak ke tu? Mak panggil Lia? Tapi…

Kringgg!

Aku bingkas duduk. Dalam kelam kutatap permukaan jam bulat di tepi bantal. 5.20 am! Apa? Ya Allah! Aku belum sahur! Ketika terkocoh-kocoh turun dari katil, ingatanku berpaling ke belakang. Bagai terdengar suara mendayu yang berbisik di telinga sebentar tadi. Betul ke emak yang panggil tadi? Ah, ramadhan ini…dah tak sama! Seruku dalam hati.

Mengadap semangkuk mee segera beserta teh o seawal 5.30 pagi di bilik sewaku ini, hati dihurung pilu. Ini sahur pertamaku tahun ini, berseorangan di tanah orang akibat tuntutan pekerjaan yang julung kali ku tempuh. Mee segera yang kurasa amat enak ketika poket hampir mengering, kini kupandang tidak bernafsu. Namun apa boleh buat, hanya ini yang sempat aku jamah sebelum tiba waktu imsak sebentar nanti.

“Lia, makan cepat nak. Nanti sejuk, dah tak sedap.”

Aku berkenangan, mengingati tingkah emak di meja makan ketika di kampung. Asap berkepul-kepul dari mee goreng yang emak masak membangkitkan selera. Mata yang sukar celik, terasa segar. Ayah di hujung meja diam tidak bertingkah. Mengadap rezeki yang dimasak emak tanpa basa basi. Abang juga begitu. Hanya emak yang tidak henti menceceh padaku sejak mula dikejutkan untuk bangun bersahur hinggalah ke meja makan.

“Makan banyak sikit. Esok tak lapar.”

Bagai terasa tangan lembut emak mengusap-usap kepalaku. Dan tanpa sedar, ku gosok kepala sendiri sambil merenung mangkuk mee segera yang sudah hampir kembang. Aku mengeluh lemah. Kutarik mangkuk kaca lalu menyuap perlahan-lahan. Hati ingin menangis namun ku kepung rasa itu agar tidak terlepas keluar.

‘Sabar Lia. Ini semua dugaan.’ Hatiku bergetus memberi semangat namun sebaik sahaja mee segera bergaul di mulut, ingatanku terhadap mee goreng masakan emak kembali menghantui. Mak! Lia nak makan mee mak masak!

Ku tolak kembali mangkuk mee yang baru luak sedikit. Hatiku benar-benar dihurung sebak. Mengingati emak menambah bengkak di hati. Ah, ramadhan ini dah tak sama! Dan airmata pun mengalir di pagi 1 ramadhan yang hening…


“LIA, bangun! Kau tertidur ke?”

Bahuku terasa digegar kuat. Ku gosok mata yang terasa kelat untuk dibuka. Kak Nora tersengih dalam telekung sembahyang yang masih belum dibuka. Fikiranku kembali waras. Teringat tujuan sebenar masuk ke surau pejabat untuk bersolat tetapi aku sudah terlanjur lena bersandar ke dinding.

“Akak dah siap ke?” ku renung wajah wanita itu yang nampak segar selepas berwuduk.

Kak Nora hanya mengangguk dalam senyum seraya menghulur surah Yassin berkulit merah darah. Kusambut hati-hati lalu berniat menghadiahkan buat insan-insan yang sudah tiada lagi. Beberapa minit seterusnya, bacaan surah tersebut beralun perlahan dalam surau kecil pejabat. Tingkah kami turut ditiru teman-teman lain yang baru tiba. Setelah usai, hatiku menggebu dengan rasa lega. Terasa tanggungjawab sudah terlunas untuk hari itu.

“Lia, nanti berbuka nak beli kat mana?” Kak Nora memecahkan kebisuan antara kami.

“Beli?” kupandang wajahnya dengan kerut keliru.

“Ya lah, beli. Bukan sempat kalau nak masak. Lagipun, nak makan sorang. Lecehlah…” ulas Kak Nora.

Tiba-tiba, aku rasa pelik. Tidak pernah seumur hidup aku berbuka dengan makanan yang dibeli kecuali kuih muih. Itupun kalau emak terasa ingin makan kuih yang tidak tahu dibuat sendiri. Sungguh! Aku terasa lain macam. Nafsu sudah berkira-kira, apa yang hendak dibeli petang nanti. Tentunya akan kuturut langkah Kak Nora menjejaki pasar ramadhan sementelah lagi, aku masih asing di bandar ini.

“Tapi, jangan beli banyak-banyak! Nanti membazir.”

Bicara Kak Nora kembali mengasak telinga. Aku hanya angguk perlahan kerana fikiran sudah mula membuka kembali kotak-kotak memori.

“Bang, jangan beli banyak sangat! Nanti membazir!”

Sekoyong-koyong suara emak mengisi minda. Ayah yang sedang terkial-kial menghidupkan enjin motosikal Honda biru, berpaling seketika sebelum mengangguk. Mata ayah singgah ke wajahku yang sedang bertongkat dagu di tangga. Monyok bak ayam berak kapur! Manakan tidak, aku dilarang menurut langkah ayah ke pasar ramadhan. Kala itu hatiku membentak, kenapa tak boleh?

“Mak, boleh lahhh. Lia bukan nak minta ayah beli macam-macam. Cuma nak ikut je…”

Mataku beralih dari paras emak dengan gaya memujuk, ke arah ayah yang masih berusaha keras menghidupkan enjin motor. Namun emak tetap menggeleng. Aku panggil ayah pula tetapi ayah buat tidak tahu, pura-pura tidak dengar lantas berlalu dengan motosikal lama tersebut. Tinggallah aku terkulat-kulat di kaki tangga melayan rasa berbungkal di dalam hati.

“Kenapa Lia tak boleh ikut?”

“Tak payahlah. Lagipun mak dah masak. Ayah nak beli kuih aje sikit.” Terang emak dalam nada memujuk.

“Tapi Lia bukan nak beli. Nak ikut ayah aje…nak tengok apa orang jual.” Bantahku lagi.

“Mak tak mau puasa Lia ‘kurus’!” itu jawab emak.

Aku diam tetapi dalam hati mengakui perkara tersebut. Dapat kubayangkan suasana di pasar ramadhan meski tidak pernah menjejak kaki ke situ. Bukan sahaja dari cerita kawan-kawan di sekolah malahan selalu tersiar di tv, riuh rendah dan meriahnya orang berjual beli. Lelaki perempuan berlaga bahu di jalanan, itu sudah tentu. Ditambah dengan pelbagai bau makanan enak yang merangsang otak, sedikit sebanyak nafsu makan meluap-luap di siang hari. Pahala penuh mungkin sudah hilang suku!

“Nanti kita pergi sama-sama ya?” suara Kak Nora menyentakkan lamunan. Aku lantas menggumam membuatkan Kak Nora tersenyum memandang mukaku yang agak kelat.

“Macam ni lah, jauh dari kampung. Kalau kat rumah, boleh makan yang mak masak, kan?” sambung Kak Nora lagi.

Mak? Rindunya pada mak! Terasa nak balik sekarang juga! Tapi…ramadhan kali ini memang terasa lain, hatiku bergetar rindu.

PETANG itu bagai dijanji, peluang ke pasar ramadhan akhirnya tiba juga. Panjang langkahku menurut jejak Kak Nora. Ditariknya aku dari satu gerai ke gerai yang lain. Melihat dan menghidu segala jenis lauk dan kuih, bersemutar ingatan terhadap kata-kata emak padaku satu masa lalu. Bukan saja aku rambang mata, malah rambang perut! Betul kata mak. Puasa Lia hari ni dah kurus agaknya, fikirku. Ah, mak juga yang kuingat…

“Lia nak beli apa?”tanya Kak Nora membuatkan lamunanku pecah berderai.

Kami masih belum singgah membeli di mana-mana gerai. Hanya menjenguk sedikit sebelum berlalu. Aku diam tidak tahu menjawab. Keliru! Yang mana satu nak makan ni? Semua nampak sedap! Hatiku bergetus. Kak Nora menelek wajah serba salahku sambil tersengih.

“Tak tau nak pilih?”

Aku angguk. Kak Nora ketawa lantas ditariknya tanganku meredah lautan manusia yang berpusu-pusu memenuhi tuntutan selera. Entah ke mana mahu dibawa diriku ini, tidak pula aku persoalkan. Dia dah biasa kat sini, begitu aku memujuk hati. Pandanganku terlekat pula di gerai menjual ayam percik di kiri kanan jalan. Baunya menelusuri rongga hidung lantas menghantar isyarat ke otak membuatkan perutku seakan-akan menginginkannya. Bunyi desir percikan minyak ke ketulan arang membara membawa aroma enak yang sukar ditepis sekaligus kembali mengingatkan aku kepada detik-detik lalu.

“Pusing sebelah Lia. Mak nak letak kuah kat sebelah tu pulak.”

Suara emak bergentayangan dalam kotak fikiran. Seakan-akan terpandang tingkah kami berdua di pintu dapur sedang mengadap tempat pembakar ayam percik di sebalik kepulan asap. Aku yang sudah berpeluh-peluh ditugaskan membakar, sesekali mengesat mata yang pedih dicemar asap. Emak pula mengetuk perlahan-lahan batang serai yang dilumur kuah percik di atas ayam. Sebaik sahaja kuahnya menitik ke arang, desiran dan baunya tidak ubah seperti sekarang. Mak! Kenapa semua benda kat sini, mengingatkan Lia pada mak? Rindunya!

“Lia!”

“Hah?” Tersentak. Kupandang muka Kak Nora yang terentang kerut di dahinya.

“Mengelamun ke? Tuu…”
Ku lihat arah muncung wanita itu. Sebuah gerai menjual lauk pauk dan kuih muih berada di depan mata. Agak ramai pengunjung berkerumun di situ. Aku jadi tertanya-tanya, apa hal pulak? Tak ada beza pun, sama aje dengan yang lain! Kak Nora tarik tanganku. Sebaik sampai giliran kami, ada seseorang ramah menegurnya.

“Akak, datang pun! Ingat dah lupa!”

Kak Nora ketawa mesra. Aku di sebelah tidak tahu hendak bereaksi jesteru hanya mengorak sedikit senyum tatkala anak muda pemilik gerai itu menyapa ku dengan anggukan kepalanya.

“Banyak jual tahun ni?”

“Biasa saja kak. Macam tahun lepas juga.”

Ramah sekali dia melayan karenah Kak Nora yang mula menunjuk pelbagai lauk pilihannya. Sampai giliranku, lama anak muda itu menunggu aku membuka mulut. Sungguh! Dalam begitu banyak lauk pauk, tiada satu pun yang menarik minatku! Kak Nora di sebelah menyiku perlahan. Kuangkat kepala menetang paras anak muda itu yang masih sabar menanti dengan senyum mesra.

“Cepat Lia. Orang ramai tu!” bisik Kak Nora separuh menggesa.

“Takpe kak, biar dia pilih. Nanti, panggil saya ya?” lelaki itu berlalu melayan pengunjung lain meninggalkan aku yang masih tidak tahu membuat keputusan.

“Lia nak makan apa ni?” tanya Kak Nora pula.

“Entahlah kak. Tak kena dengan selera,” aku pandang Kak Nora dengan rupa bersalah kerana membiarkan dia ternanti-nanti.

“Dik! Dik! Bungkus mee goring lima!” Ada suara wanita memanggil di tepiku.

Pemuda tadi melangkah laju ke belakang, ke arah kuali yang berisi mee seperti yang dipinta. Sebaik sahaja bungkusan tersebut diletakkan di hadapan wanita itu, yang berdiri di sebelahku…ah, bau ini! Mengingatkan aku pada seseorang! Aku dah tau!
“Boleh bungkuskan mee goring tadi?” pintaku. Dia senyum lawa menampakkan sebaris gigi.

“Ini saja?”

Aku angguk sambil menghulurkan wang. Dia geleng. Senyum lagi.

“Tak apa. Saya belanja.”

Bila terbuka mulutku untuk membantah, dia sudahpun bergerak ke tempat lain untuk mengambil pesanan pembeli. Kak Nora sekali lagi menarik tanganku pergi dari situ.

“Wah, untungnya! Ada orang belanja hari ni. Akak memang tiap tahun beli kat sini sebab sedap. Murah lagi. Tadi tu Rizal. Belajar kat UiTM. Sekarang kan cuti, dia tolonglah kat sini.” Jelas Kak Nora tanpa ku pinta.

Aku diam, malas hendak bersoal jawab lagipun tiada berkepentingan bagiku. Fikiranku lebih tertumpu kepada mee yang telah ku beli ini. Harap-harap rasanya sama! Kalau tak, terkilannya aku, getus hati kecil ini.

Dan petang itu, selesai menadah tangan membaca doa, dengan harapan tinggi melangit kusuap mee goreng yang sudah kupanaskan. Sebaik bergaul rasa di mulut, airmata bergenang. Serupa! Hati bersorak. Mee berurat-urat kutelan dengan rasa berbungkal sebak. Sesekali bersulam teh o ais. Makk! Lia tak kempunan lagi. Ada juga air tangan yang serupa dengan mak di sini. Esok, hatiku sudah berkira-kira untuk mengunjungi gerai itu semula.

Sungguhlah, ramadhan ini dah tak sama…


HARI ketiga berpuasa, hari ini aku tidak ditemani Kak Nora. Tunangnya menjemput untuk berbuka bersama-sama. Jadi, terpaksalah ku redah pasar ramadhan sendirian. Tanpa banyak simpang siur, gerai mee goring kegemaranku tetap yang pertama aku tuju. Rizal tersenyum menyambutku. Polisterin di tangannya sudah bersedia untuk dipenuhkan dengan mee goring yang sedap itu.

“Sorang?”sapanya. Aku angguk mesra.

“Macam biasa?”

Aku angguk lagi.

“Tak jemu?” tanya Rizal lagi. Aku geleng pula. Dia ketawa dalam nada terkawal.

“Sedap sangat. Siapa masak? Awak?” akhirnya aku membuka mulut.

“Bukan saya. Emak!”

Sepatah perkataan itu diucapkan, aku terpana. Emak? Emaknya yang masak tapi kenapa aku rasa macam emakku yang masak? Betullah kata orang, air tangan emak memang tiada tandingan! Bunyi petikan jari pantas mengusir lamunanku. Rizal tersenyum seraya menghulur plastik makanan. Aku diserbu hairan apabila melihat ada plastik kecil berisi kuih di dalamnya. Aku tak mintak pun!
Kuunjuk plastik kuih itu padanya semula. Agakku, mungkin dia silap meletak. Dia geleng sambil tersenyum. Ah dia ni, murah benar dengan senyuman, hatiku berbisik.

“Saya belanja.” Ujarnya. Dan seperti kelmarin, dia berlalu sebelum sempat aku menolak.

MALAM itu, seusai solat maghrib, aku duduk-duduk di ruang tamu yang kukongsi dengan tiga teman yang lain. Televisyen terpasang menyiarkan drama tidak kuhiraukan. Di tanganku kini ada plastik kuih pemberian Rizal petang tadi. Teman serumahku menolak kerana masing-masing juga punya kudapan sendiri. Ondeh-ondeh berwarna hijau itu ada aroma daun pandan di dalamnya, bukan pewarna semata-mata. Tidak semena-mena kenangan menerpa sebaik sahaja kuih berbentuk bulat nan comel itu terjun ke mulutku.

“Lia…gentel kecik-kecik aje, jangan besar sangat.” Pesan emak singgah di kuping.

“Alah mak. Kecik ke, besar ke…sama aje. Kuih itu jugak. Bukan jadi kuih lain,” rungutku tidak puas hati namun tepung sebesar ibu jari tetap ku kecilkan sedikit macam yang emak suruh.

“Memanglah tapi tak comel jadinya nanti. Kecik besar! Buatlah sama besar. Gula tu jangan letak banyak sangat. Nanti tepung pecah.”

Aku diam tapi hati merungut tidak berpuas hati. Padaku, kalau digentel besar-besar, lebih cepat siapnya. Boleh buat kerja lain pula tapi berlawan arus dengan emak. Tepung yang sudah siap ku bulatkan emak ambil. Andai dirasa tidak berpuas hati, dibuangnya sedikit tepung tersebut menjadi lebih kecil. Aku merengus dalam diam. Muncung sudah memanjang.

“Jangan macam tu. Lia ni orang perempuan, kerja kena teliti. Tak eloklah orang tengok kerja kita caca marba.” Emak senyum. Kepalaku digosok perlahan.

“Bukan ada orang tengok pun,” balasku. “ Kita-kita aje kat rumah, kan?”

“Macamana kalau ada orang datang bagi juadah? Kita pun kena balas balik. Tak segan ke beri kuih kecik besar macam ni?”

Masin betul mulut emak. Belum habis tepung kugentel, Makcik Melah jiran sebelah datang menghantar kuih abuk-abuk. Emak, tanpa tangguh menukar kuih tersebut dengan ondeh-ondeh buatan tanganku yang sudah dimasak.

“Amboi! Comelnya kuih ni! Macam tukang buatnya juga,”puji orang tua itu.

Aku terpinga-pinga. Dari mana datang comelnya? Sedangkan sebentar tadi emak sudah mengomel panjang. Makcik Melah ni perli ke? Lalu, ku jengah sedikit ke dalam piringnya yang berisi kuih. Bulat mataku memandang. Emak yang terperasankan perbuatanku hanya mengeleng perlahan.

Rupa-rupanya, emak sudah pilih ondeh-ondeh yang comel-comel untuk Makcik Melah. Sementara yang kugentel besar-besar ditinggalkan untuk santapan kami. Aduh, malunya kalau Makcik Melah tahu! Betul cakap emak. Aku tak patut buat kerja sambil lewa! Kalau terbocor, aku juga yang malu! Anak dara tak tahu buat kerja, begitu orang mengata.

Ah, mak! Banyak yang mak ajar Lia. Baru sekarang Lia sedar. Tapi, mak jauh! Lia kat sini. Rindunya kat mak! Tak sabar nak balik! Hatiku ditindih pilu…

“Kau ni kenapa?” suara Lina, teman serumahku memutuskan ingatan.

Aku tunduk menyorok air mata yang hampir bergulir ke pipi seraya menggeleng. Kerinduan ini biarlah ku simpan sendiri. Mana mungkin mengadu dengan mereka nanti dikata anak manja yang tidak boleh berenggang dari ketiak emak! Tapi hakikatnya…ah, biarlah…Sesungguhnya, ramadhan ini begitu jauh berbeza.

SEMINGGU aku tidak berkunjung ke pasar ramadhan kerana melalui masa-masa ‘cuti’. Sempatlah aku memasak bila pulang bekerja. Namun, hatiku mula dicuit rindu. Rindu pada si pemilik gerai tersebut. Benarkah begitu? Bukankah selama ini rinduku hanya untuk emak, ayah dan abang di kampung? Tetapi, ramadhan kali ini merubah sedikit rasa dalam hati. Senyuman manisnya itu sering kubayang-bayangkan ketika bersendirian. Atau ketika aku termenung di meja pejabat menanti teman-teman yang keluar bersolat. Gilakah ini? Angaukah ini? Tidak! Tak mungkinlah, hati pantas menepis. Aku baru jumpa empat hari. Tak mungkin secepat itu?

“Lia!” Suatu hari Kak Nora menghampiri.

Ku tuntas wajah bertudung kuning air itu sambil berkerut dahi, hairan dengan tingkahnya yang tersenyum lain macam. Kak Nora satu jabatan denganku tapi mejanya agak jauh jadi sukar untuk kami bergosip jika ada senggang waktu. Kerana itu aku agak hairan sedikit melihat dia melenggang ke mejaku. Satu perkara yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

“Ada orang kirim salam.” Dia terseringai penuh makna.

Aku menambahkan kerutan. Siapa pulak? Hati tertanya-tanya. Aku masih baru di sini. Baru tahun pertama dan tidak pasti berapa lama aku akan bertahan. Kelas malamku berjalan lancar. Aku perlu berjaya dalam peperiksaan STPM hujung tahun ini kerana ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Lagipun, aku bukanlah jenis gadis yang suka menonjol di kalangan teman sekerja. Ada atau tidak, tiada beza pada mereka.

“Dah boleh puasa?”

Aku angguk. Kak Nora melebarkan senyuman. Wajahnya berseri-seri seumpama menerima berita yang menggembirakannya.

“Petang ni, pergi pasar dengan akak, ye?”

Aku angguk lagi. Kak Nora ni macam tak biasa, rungut hatiku.

Petang itu sekali lagi aku meredah pasar ramadhan bertemankan Kak Nora. Ku lihat sekeliling, tiada yang berubah dalam masa seminggu ini. Gerai masih banyak, pengunjung masih ramai malahan bertambah pula. Dan seperti biasa, gerai itu menjadi destinasi kami. Saat terpandang Rizal dari jauh, hatiku mula bergendang debar. Ah sudah, kenapa pulak ni? Lia, relaks! Orang tu tak ada apa-apa, kau jangan nak lebih. Hatiku memujuk sendiri.

Ramai betul pengunjung kali ini. Kami berdua meminggir ke tepi, enggan bergesel bahu dengan pembeli lain yang kebanyakannya lelaki. Setelah agak lama menanti, seorang makcik datang menyapa bertanyakan kehendak kami. Kak Nora, seperti biasa mudah membiasakan diri. Aku pula curi-curi memandang Rizal yang sibuk melayan orang ramai. Dia langsung tidak perasan akan kehadiranku di sini. Hati dipalit kecewa. Aku nak tengok senyum tu! Kenapa ya dengan aku ni? Rindu..Hatiku tidak henti bergolak sendiri.

“Anak ni nak apa pulak?” tanya makcik padaku.

Sejenak aku terdiam. Terlupa untuk memberitahu kerana Rizal selalunya sudah arif dengan keinginanku.
“Bungkuskan mee untuk dia, mak! Kesukaan dia tu. Hari-hari makan pun tak jemu.” Rizal!

Aku berpaling memandangnya. Dia tersenyum! Kali ini aku rasa lebih menawan. Hatiku bergetar hebat. Lia, ingat sikit! Bulan puasa ni, hati mengingatkan. Makcik yang dipanggilnya emak itu bergegas ke belakang. Aku tiba-tiba tersedar.

Mak? Makcik tu emak diakah? Yang memasak mee seperti emakku? Kupandang tubuh tersebut dari belakang. Susuknya tidak jauh beza dari emak cuma mungkin emakku lebih kurus. Makcik berpaling mengadapku beserta bungkusan di tangan. Senyumannya nampak mesra benar. Saat itu sudah ku tahu dari mana datangnya sifat Rizal yang sangat menarik hati. Senyuman mereka sama!

“Ini Lia ke?” tanya makcik membuatkan aku terpempam.

“Inilah dia makcik. Yang orang tu tanya hari-hari,”sampuk Kak Nora bersama jelingan untuk Rizal yang berada di sebelah emaknya. Sekali lagi aku tersentak. Dia tanya aku ke? Emaknya hanya ketawa. Serta merta mengingatkan aku akan ketawa emak. Mesranya lebih kurang sama. Ah, mak! Sekarang pun Lia tetap tak boleh lupa.
Kak Nora pun sama naik. Hanya aku yang terkial-kial menunggu bungkusan mee yang masih belum dihulur kerana Rizal membawanya ke belakang semula. Entah apa yang dibuatnya, akupun kurang pasti. Sebentar kemudian, dia datang semula. Kali ini bungkusan itu nampak lebih sarat. Tentu ada kuih lain yang diletaknya. Aku jadi segan sendiri. Kali ini aku bertekad untuk membayar.

“Seminggu tak nampak? Awak pergi mana?” tanya Rizal perlahan, mungkin mengelak dari didengari wanita berdua di sana.

“Ada, tak ke mana-mana. Cuma masak kat rumah.”

“Dah jemu makan mee saya?” tanyanya lagi ingin memanjang perbualan.

Aku geleng. Kalau jemu, masakan aku datang hari ni, bisik hati kecilku. Saat dia menghulur plastik tersebut, kusumbat not lima ringgit ke dalam tapak tangannya. Dia terpinga-pinga. Sebelum sempat dia berkata apa-apa, ku heret tangan Kak Nora pergi dari situ.

“Lia!”
Aku berpaling dan tersentak melihat Rizal beraksi menyuruhku menelefonnya. Dia senyum lagi. Aku pelik! Dari mana hendak kucari nombornya pula? Ah, ramadhan ini begitu banyak yang merubah hidupku!

MAGHRIB itu, aku kembali berbuka dengan mee buatan makcik yang padaku setara dengan masakan emak. Terlerai rasanya sedikit kerinduan meski ianya tidak pernah berhenti. Kali ini suapanku bersulam senyuman. Hati kecil diusik teruja. Sebaik ku buka bungkusan polestrin, tertera sebaris nombor telefon di bahagian dalam penutupnya. Puas kubelek-belek kerana agak berminyak terkena mee goring.

Rizal! Patutlah dia beraksi begitu petang tadi! Tanpa teragak-agak, kusimpan nombor tersebut di telefon bimbitku. Buat seketika, dia tidak akan kuhubungi. Biar dia tertunggu-tunggu. Aku tidak mahu dikata terlebih perasan pula. Namun entah mengapa, hati berbaur sedih juga. Aku sendirian di sini. Tidak dapat berkongsi dengan sesiapa, disaat jiwa gadisku diusik debar buat pertama kalinya. Ingatanku kembali kepada emak.

Mak, Lia dah dewasa! Kalau mak ada kat sini, tentu mak pun macam Kak Nora. Suka mengusik! Macam mak pernah buat pada Lia dulu…

“Lia ambil gambar dengan siapa ni, nak?”

Foto Hari Sukan di tangan emak kujengah. Dalam banyak-banyak gambar yang kubawa pulang, kenapa foto itu yang emak tanya? Hatiku merungut tatkala terpandang wajah kaku ku yang sedang tersengih memegang bendera rumah sukan bersama seorang teman. Faiz!

“Kawan kelas Lia. Faiz tu memang macam tu, suka menyibuk! Lia tak ajakpun dia, tiba-tiba datang menyelit kat tepi.” Aduku.

Emak ketawa sambil memuji-muji Faiz yang kacak. Kacak ke? tanya hatiku saat itu. Bila kutanya semula pada emak, jawabnya;

“Kacaklah tu, dah kena dengan Lia.”

“Makkk…”aku merengek manja, beriak tidak berpuashati. Emak ketawa lagi. Sebaik sahaja ayah menghampiri, emak lekas-lekas menunjukkannya kepada ayah.

“Siapa pulak ni?” tanya ayah sambil mata tidak lepas pandang dari gambar itu.

“Bakal menantu!” jawab emak selamba membuatkan ayah tertawa lepas dan aku memuncung panjang.

Ah, kenangan! Ingatan waktu dahulu yang tidak pernah lupus dari benakku. Sejenak memandang nombor telefon Rizal, aku terfikir-fikir sendiri. Bagaimana agaknya reaksi emak andai ku khabarkan cerita ini?

‘Mak! Lia rindu pada mak. Pada ayah! Mak sabar ya? Minggu ni Lia balik. Lia nak cerita puas-puas. Pasal kerja, pasal kelas malam, pasal Rizal.’ Bisikku dalam hati.


JALAN masuk ke kampung tiada perubahan meski sudah agak lama aku tidak pulang. Masih berdebu, masih segar dengan pokok besar yang tumbuh di kiri kanan. Gerai Pak Akob di simpang jalan ditutup lantaran bulan puasa. Andai tidak, di situlah tempat ayah selalu melepak dengan kawan-kawan apabila petang menjengah. Sudah macam bilik gerakan pula. Segala isu semasa dibahaskan di situ. Dari kes pembuangan bayi, kenaikan harga barang hinggalah kisah artis semasa. Aku pernah terdengar sekali, kebetulan melalui kawasan itu ketika balik dari sekolah.

“Tak patut betullah. Semua harga barang naik! Kita ni bukan keja gomen. Kerja kampung je. Bukan ada duit sangat. Nak beli ikan pun kena pilih-pilih ikan murah. Mana nak ada khasiat!”

Aku yang terdengar hanya sengih. Dalam hati mula mengumpat. ‘Semua ikan ada khasiat, pakcik. Bukan kira murah mahal.’

Bunyi dentingan loceng menyedarkanku. Dah sampai! Hati bersorak. Sebaik saja aku melintasi penumpang lain, aku terdengar bisik-bisik halus seiring langkahku ke pintu. Kenapa pulak ni? Tanya hatiku lantas berpaling melihat mereka. Ada yang tersenyum. Tidak kurang yang mempamerkan air muka kasihan. Aku resah sendiri namun tangga bas ku langkah jua.

Mak, Lia balik!

Ayah, Lia rindu kat ayah!

Abang!

Ku hayunkan kaki selaju mungkin. Tidak sabar bertemu mereka yang kusayang. Tapi, sunyinya mukim ini menimbulkan detak tersendiri di hati. Nasib baik waktu sekarang belumpun masuk waktu zuhur. Cuaca redup membantu menghalang tubuhku berkeringat panas. Dari jauh sudah kunampak kedudukan mereka bertiga. Aku mempercepatkan langkah.

Aku berteleku di sini. Di bahagian kepala emak. Kuusap-usap perlahan batu sungai seolah mengusap muka emak. Kupejam mata. Gambaran emak tersenyum mesra memnuhi mindaku. Ya Allah! Rinduku ini tersurut sedikit namun tidak mungkin hilang sampai bila pun.

‘Mak, Lia datang! Lia rindu pada mak. Rindu nak makan masakan mak. Lia rindu nak bergurau dengan mak. Mak tunggu Lia. Satu hari Lia sampai juga dekat sana.’

Rumput yang mula liar, ku tarik buang. Rumah emak sudah nampak bersih. Kujengah rumah ayah, kemudian abang. Di sinilah tempat baru mereka. Mereka pergi meninggalkan aku sendiri setelah terbabit dalam kemalangan hampir setahun lalu. Ketika itu aku sedang menjalani peperiksaan STPM. Akibatnya, aku hilang tumpuan dan gagal sama sekali. Kuusap pula batu nesan ayah.

Ayah, Lia dah lama tak dengar suara ayah mengaji.

Abang, Lia rindu nak dengar abang main gitar. Lia sorang kat sini, tak ada teman.

Aku bersila mengadap emak semula. Aku mahu bercerita tentang kehidupan baruku. Tentang kerja, tentang kelas malam dan tentang Rizal serta emaknya. Aku tahu, emak tentu mendengar. Aku pulang hari jumaat. Kata orang, hari ini mereka akan menunggu kunjungan. Maksudnya, mereka nampak kita meski kita tidak dapat melihat mereka.

“Mak, Lia rindu pada mak,” bisikku hanya dengar di telinga sendiri.

“Lia dah ambil kelas malam. Tak lama lagi Lia periksa semula. Mak jangan bimbang. Lia tak pernah lupa pada mak. Bila Lia tengok makcik, Lia ingat mak. Bila Lia tegok Rizal, Lia ingat pada mak. Nanti, kalau dia sudi, Lia bawa dia datang sini. Mak tunggu, ye?” sambungku lagi. Air mata tidak tertahan. Perlahan-lahan bergulir di pipi lalu jatus menitis ke batu nesan.

Emak! Ayah! Abang! Lia rindu sangat-sangat!

Habis tiga kali mengulang surah Yassin buat mereka bertiga, kuangkat tangan separas dada seraya berdoa;

Ya Allah Ya Tuhanku. Ampunkanlah dosaku. Ampunkanlah dosa kedua orang tuaku Ya Allah. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku semenjak aku kecil lagi. Limpahkanlah rahmat ke atas mereka sebagaimana Engkau melimpahkan rahmat ke atas orang-orang yang terdahulu dari mereka. Amin Ya Rabbal Alamin.

Ku raup tangan ke muka yang basah dengar air mata yang masih menitis. Rinduku ini bak air mengalir, tidak pernah berhenti. Sesungguhnya ramadhan ini sudah tidak sama lagi…

SEKIAN