Followers


Ahad, 17 Julai 2011

Carik-carik Bulu Ayam

Sambungan dari cerpen MUDA…

“Ateh!...aku tak sangka kau macam ni! Sanggup betul!”

Nok tersedak. Coklat Cadbury yang belum sempat cair di mulut nyaris tersengkang di tekak. Telefon bimbit dalam genggaman direnung berjurus-jurus. Memang nak kena budak Noi ni, hatinya menggerutu. Bibir diketap, kegeraman.

“Eh, ni apahal ni? Pagi-pagi dah serang Ateh? Lagi satu…bila nak belajar bagi salam kalau telefon orang? Hah?”

Nok dengar adiknya berdecit halus. Ada suara riuh rendah di belakang Noi, terjerit-jerit menyuruh supaya rapat, pilih dan buka. Hatinya diserbu hairan. Dia jadi tertanya-tanya.

“Apa yang bising sangat kat belakang tu? Noi kat mana ni? Dorang suruh bukak apa tu?”

“Assalamualaikum!”

“Pandai pun! Ateh tanya ni, Noi kat mana? Bising sangat tu!”

“Bagi salam tu, hukumnya sunat tapi orang yang mendengar, wajib jawab!”

Nok garu-garu keningnya dengan jari telunjuk. Nampaknya, Noi sudah pandai memulangkan paku buah keras! Nok sengih sendiri. Kalau Noi ada depan mata, mahu dicubit-cubitnya mulut murai adiknya itu. Biar Noi tahu, langit itu tinggi atau rendah.

“Orang temankan umi pergi pasar. Tak sangka pulak, ada cerita sensasi kat sini. Ateh! Tak sangka betul kau ni! Kesian umi, tau tak?”

Kuat betul Noi menjerit. Nok pun tidak pasti, jeritan itu kerana Noi mahu mengatasi bunyi bising ataupun kerana teruja mendengar cerita sensasi di pasar seawal pagi begini. Namun yang nyata, ada nada tidak puas hati yang teramat sangat pada jeritan tersebut. Sedikit sebanyak, Nok ikut terasa debarannya.

“Kenapa dengan umi? Ateh dah buat apa?”

“Eh, tanya orang pulak? Dia yang buat hal!”

Nok terpinga-pinga. Antara keliru dan hairan, benaknya digesa bekerja keras untuk mengingati semula apa yang telah dilakukannya hingga menimbulkan kemarahan si Noi. Tak ada! Sungguh! Plot kehidupannya tiada perubahan langsung. Statik! Pergi kerja, balik kemudian masak, makan dan tidur. Sesekali keluar berbelanja, mustahil itu boleh dikira berita sensasi yang telah tersebar ke pasar pagi di kampung. Lagipun, jarak antara Kampung Dusun dengan Bandar Dua bukannya dekat. Kena tukar bas dua kali, memang kena betul dengan nama bandarnya!

“Kenapa diam pulak? Nak cari alasanlah tu!” tekan Noi dengan suara tinggi.

“Alasan apa? Orang tak buat apa-apalah!” bantah Nok pula dalam nada serupa.

“Memang lah Ateh tak buat! Tapi Ateh dah cakap!”

Bertambah melengking suara di hujung talian itu. Serta merta Nok menjarakkan N71 dari telinga. Dadanya berombak geram. Kurang asam betul si Noi ni! Nasib baik tak bernanah telinga aku!

“Ateh…” Tut..tut..tut…Hampeh!

Nok mengurut dada. Dipujuk-pujuk perasaan supaya bersabar namun rasa geram semakin giat menyubur dalam hati lantas dicampak telefon bimbit ke katil. Kemudian, dia mula menyukat keluasan bilik tidur yang tidaklah sebesar mana. Ke hulu ke hilir, pergi dan balik seraya fikiran semakin memberat dengan persoalan.

‘Apa yang dah aku buat? Eh, bukan buat tapi cakap! Apa yang aku dah cakap? Aku ni memang banyak cakap tapi yang mana satu yang buat Noi marah sangat ni? Ishh…musykil betul!’

Nok berhenti di tengah-tengah bilik. Kedua-dua tangan mencekup rambut yang masih kuncup kebasahan. Ketika Noi menghubungi sebentar tadi, dia baru sahaja keluar dari bilik air. Diramas-ramasnya perlahan. Sesekali digoyang-goyang kepalanya sambil membayangkan sedang mengerjakan kepala si Noi di kampung. Biar dia rasa!

“Ini mesti semalam aje ni…Kalau cerita minggu lepas, tentu dari minggu lepas lagi Noi dah mengamuk! Semalam, aku cakap apa, ye?” Nok merungut sendirian lantas kembali mundar mandir di dalam bilik tidurnya itu. Fikirannya terseret ke satu persatu peristiwa semalam. Cuba mengingati andai ada di antaranya yang telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada keluarganya di kampung khususnya umi.

“Pagi sebelum kerja, aku tak cakap dengan orang! Dengan Comel je so tak boleh kira!” Telunjuknya dilipat, tolak satu perkara.

Kemudian, satu persatu wajah-wajah pekerja bawahannya muncul di benak namun sepanjang ingatannya, perbincangan mereka hanya berkisar tentang kerja. Mustahil! Nok menggeleng perlahan lantas melipat jari tengahnya pula. Tolak dua!

“Petang semalam, aku keluar makan dengan Nora,” gumamnya perlahan.

Betul! Semalam mereka bertegang leher sekejap. Banyak perkara yang dibahaskan tapi ada satu yang tidak dapat diterimanya bulat-bulat. Nora beria-ia mengatakan durian di kampungnya adalah yang terbaik di Semenanjung Malaysia. Eh, mana boleh! Langkah mayat aku dulu!

“Kau pernah makan durian dari kampung aku?” tanya Nok. Buntang matanya melawan pandangan tajam si Nora yang mencebir. Rasa hendak digunting bibir tebal temannya itu sebelum dicampak ke longkang. Padan muka!

“Sekali kau jamah, aku rasa mesti kau sesat jalan nak balik kampung kau! Itu baru jamah tu! Kalau kau makan seulas, pitam. Habis sebiji, sah kau koma!”

“Kenapa pulak?” Nora masih dalam aksi mencebir. Ingat bibir tu macam Angelina Jolie ke?, kutuknya dalam hati.

“Power beb! Durian Kampung Dusun tak ada tandingan, tau? Kalau nak banding dengan tempat lain, macam langit dengan bumi. Jauh panggang dari api!”

“Habis, kau pernah ke makan durian kampung aku?” bidas Nora.

Nok terbata-bata. Nora ketawa sinis. Berasap hati Nok melihat aksi tersebut. Tapi sekarang, bila difikir-fikirkan semula, mustahil hal itu yang membangkitkan kemarahan Noi. Salah ke puji durian kampung sendiri? Tak mungkinlah, fikirnya.

“Jangan-jangan…” dahinya berkerut. “Tapi…” Panggilan telefon malam tadi mencuri ingatan…

*********

“Nok apa khabar?” Suara itu menyapa lembut selepas berbalas salam.

Nok sengih selesa dalam gelap. Hati berbunga gembira. Panggilan itu diterima ketika dia hampir melelapkan mata. Awalnya dia malas melayan. Sangkanya Nora yang telefon untuk meminta maaf sekaligus mengakui durian Kampung Dusun adalah yang terbaik. Tapi, haram! Ketika melihat sebaris nombor asing muncul di skrin, hatinya sudah berdetak kencang. Sebaik empunya suara memperkenalkan diri, dia sedikit terkejut. Tak sangkanya!

“Betul ke keputusan Nok buat tu? Dah fikir panjang?”

“Bukan keputusan saya! Umi dengan walid yang suruh!”

“Suruh?”

“Bukan…err, maksudnya ini cadangan umi dan walid. Saya ikut je,”

“Sebenarnya, saya kecewa sikit. Tak sangka, walaupun dah lama tapi saya masih ingat pada Nok,”

Dada Nok berkocak kuat. Jantungnya berdegup laju. Sungguh, mendengar pengakuan itu bagaikan bulan jatuh ke riba! Dia sudah lupa pada yang lain. Pada umi, pada walid atau pada Arip! Yang terbayang hanya wajah orang yang bercakap dengannya sekarang!

“Kalau boleh, Nok tolong fikirkan lagi. Saya akan tunggu dengan sabar,”

Satu jam selepas panggilan tersebut, Nok masih terkebil-kebil dalam gelap. Perasaannya menjadi bersimpang siur, tidak tentu arah. Seketika, wajah umi dan walid menerpa. Hatinya diusik belas. Dah berapa ramai aku tolak? Benaknya membilang wajah. Ramai! Hatinya bergetus. Harapan orang tuanya tidak pernah setinggi sekarang. Tegakah aku menolak lagi dan menghancurkan harapan umi dan walid? Nafasnya dihela panjang.

Kemudian, hadir pula wajah itu. Ah, dia! Arip gembala lembu! Itu dulu! Masa zaman sekolah. Kata umi, Arip sudah berjaya sekarang. Daging lembunya sudah sampai ke pasaran luar. Dulu Arip ambil upah jaga lembu datuknya dan penduduk kampung yang lain. Arip tidak bersikap seperti kanak-kanak sebaya yang suka bermain bersama-sama. Masanya banyak dihabiskan di padang ragut dengan lembu. Tetapi, sesekali bila Arip keluar bermain dengan Adul, tanduknya ikut tumbuh. Dah serupa lembu! Nok mengorak senyum sedikit.

Eh, kenapa pulak aku ni? Tiba-tiba ingat si Arip? Hatinya mendongkol lantas senyuman padam serta merta. Akalnya dipaksa agar menyisihkan wajah si gembala lembu tersebut lalu hadir pula Adul, dengan senyum manis 15 tahun lampau. Panggilan telefon sebentar tadi kembali membuatkan Nok terseringai di dalam selimut.

“Mana dia dapat nombor telefon aku, agaknya? Lupa pulak nak tanya. Lama tak jumpa dia, mesti sekarang dah tambah handsome!” Nok mengomel dalam gelap.
Fikiran mula melayang mengingati surat-surat cinta yang pernah dihantar Adul. Semuanya masih tersimpan elok dalam kotak kasut di bawah katilnya di kampung. Setiap satunya Nok sudah hafal, bukan sahaja isi malahan tanda baca juga. Sampai naik lunyai! Kalau Nok praktikkan amalan menghafal begitu ketika belajar, sah-sah dia muncul pelajar terbaik negeri Pahang 15 tahun lalu. Tapi, haram!

“Tapi peliklah…kenapa panggilan dah lain? Dulu, lain!”

Ahh, dia dah lupa agaknya! Lagipun dah lama sangat, fikir Nok. Selebihnya, hendak menyedapkan hati sendiri. Dia mengenali diri Adul melalui surat-surat tersebut. Mereka berkongsi cerita mengenai kehidupan dan masa depan. Dengan surat itu juga, Nok menyelongkar sisi Adul yang berbeza. Lembut dan penyayang! Juga romantis!

“Dah berubah ke?” Nok bangkit duduk. Hatinya merusuh dalam diam!

************
5 pagi, Nok dikejutkan oleh penggera telefon. Bingkas dia bangun dengan kepala memberat bagai dihempap batu. Malam tadi dia berjaga lewat. Sejak pulang dari kerja hinggalah membawa ke malam, jari jemari naik lenguh menghubungi Noi. Mesej tidak berbalas, telefon tidak bersambut. Telinganya naik kebas mendengar pesanan dari peti mel suara. Marah betul si Noi ni! Besar sangat ke salah aku? Itulah yang ditanya pada dirinya sepanjang malam. Mata yang tertutup tetap enggan terlena kerana tersengkang dek rasa bersalah.

Pagi ini, Nok mencuba lagi tetapi hasilnya tetap sama. Dia mula berasa tersinggung. Sampai hati Noi! Takkan marah sampai macam tu sekali? Apa salah aku sebenarnya? Liur terasa kesat. Dadanya berbungkal dengan rasa sebak. Nombor umi pula ditekan. Panggilan pertama tidak bersambut, dicubanya lagi. Panggilan kedua bersambung dengan pesanan di peti mel suara, dada Nok terasa menyempit!

Panggilan ketiga dan terakhir! Kalau yang ini pun tidak berjawap, dia bertekad untuk balik ke Kampung Dusun hari ini juga. Apa nak jadi, jadilah! Hatta, kena buang kerja sekalipun!

“Ateh…mimpi apa telefon umi pagi-pagi ni?” suara umi muncul pada deringan ke tiga. Ya Allah! Leganya! Terasa hati bagai disiram sebaldi ais!

“Umiii…” rengek Nok manja. Beli jiwa, kata orang. “Noi kat mana?”

“Laa…nak cakap dengan Noi ke? Telefonlah dia. Kenapa telefon umi pulak?”

“Suruh dia balik!” tegas suara walid menyampuk dari belakang. Dada Nok berdebar semacam!

“Ateh dah minta cuti? Kenduri lagi sebulan, tau? Balik awal sikit,” suara umi masih lembut, tiada tanda-tanda dirinya telah melakukan kesilapan seperti yang didakwa Noi. Pelik!

“Semalam, umi pergi pasar dengan Noi kan? Apa yang umi dah dengar?”

Umi hanya diam, hanya terdengar helaan nafas panjang dan dalam. Sah! Memang ada sesuatu!

“Tak ada apa-apa lah. Ateh balik ye? Jangan buat hal pulak!”

Nok menjadi semakin tidak sabar. Nampak benar umi cuba berselindung di sebalik lalang sehelai. Dengan karenah Noi yang menjauhkan diri, Nok sudah dapat mengagak.
“Apa sebenarnya umi? Kenapa Noi marah sangat? Dia langsung tak jawab telefon! Ceritalah umi. Kalau macam ni, Ateh tak boleh fokus pada kerja,”

Nok dengar umi mengeluh perlahan.

“Pagi semalam kat pasar, umi terjumpa dengan makcik Leha,” Oh, itu ibu Adul dan Arip. Kenapa ya? Hatinya tertanya-tanya. Dan selepas itu, setiap patah kata-kata umi melekat di benak bersama rasa tidak percaya yang bukan sedikit!

“Umi dan walid dah buat keputusan. Kalau Ateh tak suka Arip, tak apalah. Ateh boleh pilih Adul. Tapi umi tetap mahukan Arip sebagai menantu. Dan Noi pun dah setuju untuk ganti tempat Ateh,” sambung umi lagi.

Apa? Patutlah Noi marah!

‘Arip dengan Noi? Aku dengan Adul? Betul ke? Tapi, kenapa hatiku tak rasa teruja?’ Nok melekap tangan ke dada. Ada sedikit rasa hampa terpalit di situ!

**********
Malam itu, malam paling sunyi dalam hidupnya. Pulang dari kerja dia hanya berkurung di bilik. Pelawaan Nora untuk keluar ditolak mentah-mentah. Semangatnya bagai direnggut! Entah mengapa, perkhabaran semalam benar-benar mengganggu fikiran Nok.

Bruno Mars berdendang Lazy Song di N71. Dibiarkan sahaja sampai penyanyi itu letih sendiri. Pesanan ringkas pula masuk. Bukan satu atau dua, tapi bertalu-talu. Lambat-lambat Nok bangun membelek telefon hitamnya itu. Ada panggilan dari nombor yang tidak dikenali. Adul kah? Tapi, nombor pemuda itu sudah disimpan. Dahinya berkerut halus.

Mesej pertama dibuka.

Nur, di sini bulan cantik sekali. Ada wajahmu terukir di dadanya!

Darah Nok menyirap! Ayat itu! Mana mungkin dia lupa! Tangannya menggigil mencari mesej kedua.

Dunia ini perhiasan. Dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Sudahkah Nur ku bersedia untuk itu?

Bulu roma Nok merinding! Otot-otot perutnya dirasa mengecut. Tidak sanggup hendak membaca mesej seterusnya. Keinginannya melonjak tetapi hatinya melarang. Itu bukan nombor Adul! Tapi ayat-ayat itu pernah dibacanya lewat surat-surat yang pernah lelaki itu kirimkan. Itu panggilan Adul buat dirinya dulu! Jadi, siapa? Dadanya mengencang, batin mula berbisik. Arip kah? Kepala Nok menggeleng lantas disembamkan kepala ke bantal. Tak mungkin!

Bruno Mars kembali menganggu. Dendangannya seiring dengan rentak hati Nok. Terketar-ketar dia melihat skrin. Nombor yang tidak dikenali itu muncul semula.

“Nur…”

Suara garau itu mudah sahaja dikenalinya. Arip! Tapi, sejak bila Arip panggil dia, Nur? Nok bingung sekaligus membatukan diri. Dia tidak tahu bagaimana mahu bereaksi. Kelmarin, lelaki itu bakal tunangnya. Sekarang, dia sudah jadi bakal kakak ipar!

“Ada orang ke tidak ni? Kenapa senyap aja? Benci sangat ke?”

Nok tahu Arip hanya bersenda tetapi hatinya tiba-tiba dilumur sebak mendengarkan ungkapan tersebut. Benarkah dia benci Arip?

“Mana awak dapat nombor telefon saya? Siapa beri?” Hanya itu yang terlintas di fikiran buat masa ini.

“Nasib baik ada Noi. Nak tunggu Nur berikan sendiri, sampai ke sudah tak merasa. Ya tak?” Arip gelak sedikit. Sekali lagi Nok rasa seram sejuk. Nada lelaki itu tidak seperti abangnya. Tiba-tiba Nok rasa jauh hati. Ya lah…orang dah ada Noi!

“Kenapa telefon saya? Telefonlah Noi! Cakap dengan saya, bukan ada faedah pun, kan?” tanpa sedar Nok membuka rahsia hati.

Arip ketawa lepas. Nok terpinga-pinga tidak mengerti. Seketika, soalan bertubi-tubi mengasak kotak akalnya. Sekarang waktunya! Hati Nok berbisik. Dia perlu cari punca sebenar yang menyebabkan Noi begitu memusuhi.
“Arip, boleh tolong tak?”

“Tengoklah, bergantung kepada jenis pertolongan,” lelaki itu masih ingin mengusik.

“Boleh cerita apa yang sebenarnya dah berlaku? Awak, Adul, Noi dan saya?”

“Kenapa nak tahu? Nur dah buat keputusan, kan? Walau apapun kisahnya, Nur dah pun pilih Adul, kan? Sejak dulu, dia yang ada dalam hati Nur. Sebab tu, Nur masih simpan surat-surat Adul,kan?”

Sekali lagi darah Nok menyirap! Tangannya yang menggenggam telefon terasa menggigil. Surat? Macamana Arip tau? Kerja Noi kah? Patutlah Arip tahu kandungan surat-surat tu semua! Hatinya mendidih marah tatkala teringatkan mesej-mesej yang diterima sebentar tadi. Nur konon! Penipu! Penciplak!

“Awak baca surat saya? Noi yang beri, kan? Awak ni kan, memang! Sanggup awak buat saya macam ni? Nur? Eh, sejak bila awak pandai panggil saya Nur?” tempik Nok geram. Dia sudah berdiri di atas katil. Nasib baik kepala masih jauh dari kipas siling!
“Ehh…nanti kejap! Jangan marah-marah. Bila pulak saya baca surat awak? Noi Cuma beritahu. Jangan tuduh macam tu. Kecik hati saya, tau?” suara Arip masih lembut memujuk.

Nok mencebir meniru tingkah Nora tempohari. Apabila dia mendiamkan diri, Arip mengambil peluang itu menjelaskan keadaan sebenar. Dia hanya membisu dan mendengar dengan teliti. Kata Arip, Adul menghubunginya untuk bertanyakan berita peminangan tersebut. Pada Arip, Adul mengakui masih mengingati Nok meski lama terpisah. Tambahan lagi, dia baru sahaja berpisah dengan teman wanitanya. Adul memang bercadang untuk meminang tapi Arip lebih dahulu bertindak.

“Dia dah ada kekasih?” pintas Nok tiba-tiba. Tidak berpuas hati dengan apa yang didengarinya.

“Dulu…sekarang dah tak ada!” jelas Arip, begitu tenang. Nok jadi tertanya-tanya, bagaimana agaknya perasaan Arip? Abang sendiri mahukan bakal tunang? Kalau dirinya berada di tempat lelaki itu, mampukah dia bertingkah serupa? Tidak! Nok akui, dia bukanlah penyabar orangnya! Silap-silap, putus kepala Noi cantas!

“Adul ada telefon Nur? Dia kata Nur tak setuju kita bertunang. Cuma ikut kehendak umi dengan walid saja. Betul ke?”

Nok tergigit lidah. Adul ni! Itupun nak cerita ke?

“Ibu dengan ayah dah datang rumah Nur. Dorang dah buat keputusan nak satukan Adul dengan Nur, saya dengan Noi…”

“Noi setuju?” pintas Nok.

“Nur rasa? Kenapa tak tanya dia sendiri?” tanya Arip semula.

Nok diam. Hatinya kembali dihurung sebak apabila teringatkan adiknya yang seorang itu. Selama ini, hanya Noi yang rajin melayannya. Walau dia sering membebel, marah-marahkan Noi yang selalu terlupa hendak memberi salam tetapi Noi tidak pernah serik. Kerana dia jarang-jarang pulang ke kampung, Noi lah yang selalu melaporkan sebarang perkembangan dan berita terkini. Sekarang, Noi dah merajuk! Noi marahkan dia yang selalu tidak tetap pendirian!
“Dia marahkan saya! Dia tak mahu jawap panggilan, tak jawap mesej. Dia merajuk! Macamana saya nak tanya sendiri?”

“Alahh…carik-carik bulu ayam aje tu. Keras-keras kerak nasi. Telefonlah lagi!” pujuk Arip lembut.

“Aripp…” rengek Nok. Tiba-tiba mood bermanja merasuknya. Arip diam, mungkin terkejut dengan suara menggoda Nur nya itu.

“Awak suka dekat Noi? Awak tak kisah kena bertunang dengan dia? Awak marahkan saya?” Nok dengar Arip mengeluh.

“Noi memang baik tapi yang saya pinang tu, Nur. Awak! Saya tak marah tapi kecewa sikit. Saya tak sangka, awak masih tunggu Adul hanya kerana surat-surat yang dia pernah bagi masa sekolah!”

“Tapi, saya kenal Adul dengan surat-surat tu! Impian dia, cerita masa depan! Surat-surat tu ada nilai pada saya,”
“Cerita masa depan? Cuba baca semula surat-surat tu. Impian Adul yang tertulis, sama ke dengan yang dia ada sekarang? Saya rasa lari jauh,”

Sekali lagi Nok terdiam. Mindanya mula diperah. Apa yang Adul pernah tulis? Menjadi usahawan berjaya? Adul kerja apa ya? Kata umi, pegawai felda! Jadi, semua itu impian siapa? Nok terpempam!

“Nur..” Nok tersentak. Arip! Panggilan itu dari Arip rupanya. Sejak dulu dan kini! Kenapa dia menyamar? Kenapa dia yang membalas surat-surat tu semua?

“Kenapa?”

“Kenapa apa?”

“Kenapa?” tekan Nok lagi. Dia dengar Arip mengeluh panjang. Dalam keliru, ada rasa semacam bertapak di hatinya mendengar keluhan sebegitu di lewat malam sebegini.

“Sebab, sejak dulu awak lah cahaya saya. Tak ada yang lain. Hanya awak, Nur!”
*********
“Nak apa?”

“Sorry! Ateh bukan sengaja bercerita hari tu! Sorry ya?”

“Sorry naik lori!”

“Noi!”

“Apa? Cepatlah, orang sibuk ni!”

“Noi, janganlah macam tu. Ateh betul-betul minta maaf. Ateh nak ucap terima kasih jugak,”

“Kenapa pulak? Orang tak buat apa-apa pun!”

“Terima kasih sebab beritahu Arip tentang surat-surat tu! Kalau tak, sampai sekarang Ateh tak tahu hal sebenarnya,”

“Hal apa?”

“Sebenarnya, surat tu Arip yang tulis…bukan Adul. Ateh dah salah orang selama ni,”

“Itu aje ke?”

“Ya, itu je!”

“Ok lah kalau macam tu. Orang sibuk ni! Nak beli hantaran. Kalau dia tak nak, biar je orang ambik!”

“Noi!” jerit Nok lantang.

*********
Noi bersimpuh sopan di atas pelamin rendah di ruang tamu rumah. Baju biru mudanya nampak padan dengan latar belakang kuning. Nok hanya memandang dari jauh. Melihat air muka adiknya yang sedang berbahagia, hatinya ikut menumpang gembira. Sanak saudara memenuhi ruang yang agak luas, sama-sama menyaksikan upacara menyarung cincin pertunangan di jari manis Noi. Nok memandang jari sendiri. Ada dua bentuk cincin tersarung di situ. Di usapnya perlahan-lahan.

“Nok!” ada tangan menjalar di belakangnya.

“Kam! Tina! Kau pun ada? Tun mana?” Nok terjerit kecil. Beberapa orang tetamu berpaling ke arah mereka lantas ditariknya tangan kedua-dua teman lama masuk ke dalam bilik.

“Tun tak ada! Bulan lepas kan dah balik? Aku masih ada cuti lagi. Kam pulak, baru nak mula cuti,” Tina menunjuk ke arah perut Kam yang membulat. Nok ketawa gembira.

“Kau tengok adik aku tu! Bahagia betul dia!”

“Alah, dah jodoh nak datang cepat…apa nak kata, kan? Macam kau juga! Tak sangka, kan?” Tina mengangguk mengiakan kata-kata Kam.

“Dah sebulan ni, kau okay tak?” Tina mengait jari Nok dengan jarinya. Nok senyum penuh makna. Pipinya merah merona apabila Kam dan Tina mula mengusik.

“Sayang!” Pintu bilik terbuka dari luar. Ada kepala terjengul di situ. Spontan, Kam dan Tina bangun serentak.

“Kami keluar dulu lah! Nanti kita sembang kat luar!” Nok sengih melihat keduanya mengenyit mata.

“Dah makan ke?”

Nok geleng perlahan dengan kepala tertunduk sedikit. Perasaan segan masih menebal meski sudah hampir sebulan mereka terikat.

“Jom, makan dengan abang. Sayang tak tengok Noi ke? Tak jumpa dengan bakal adik ipar?”

“Eh, dia ada datang ke?”

“Ada tapi duduk kat bawah. Tak naik pun!” hidungnya dicuit perlahan. “Sayang cantiklah hari ni! Berseri-seri! Sampai abang tak dapat beza, yang mana satu nak bertunang. Adik ke kakak?” Nok sengih malu-malu. Siapa tak bangga kena puji dengan suami?

Suami? Ya…itu suaminya! Arip! Lelaki yang sebenarnya dicintai dan dikasihi. Yang hampir terlepas dari genggaman kerana sikapnya sendiri. Yang menjadi punca perbalahannya dengan Noi hingga sebulan tidak bertegur sapa.

Diam-diam Nok mengintai dari ekor mata. Pertama kali bersua muka sejak sekian lama, dia langsung tidak menduga betapa besar perubahan yang berlaku terhadap lelaki ini. Dia bukan lagi si gembala yang kurus kering! Tubuhnya sasa sepadan dengan ketinggian yang dimiliki. Pada diri lelaki itu sekarang, sudah ada aura seorang usahawan berjaya. Fikirannya cenderung ke arah membangunkan perniagaan daging dan tenusu. Sikap tegasnya kadang-kadang terlindung dek sifat lembut dan penyayang. Sebulan berlalu, lelaki itu masih tidak jemu memanjai Nok dengan bicara romantisnya. Persis surat-surat lama mereka!

“Tengok apa tu?” hidungnya ditarik lembut. Pantas dia menepis tetapi jarinya pula masuk dalam genggaman suami tercinta.

“Rugikan, kalau sayang pilih Adul dulu? Tak dapat tengok abang macam sekarang!” Nok mengerling sekilas. Wajah Adul bertandang seketika. Nasib baik lelaki itu dapat menerima suratan yang tertulis meski mengakui hatinya agak kecewa kerana tidak menyangka ikatan antara mereka hanya bersandar kepada surat-surat tulisan Arip.

“Rugi juga kalau abang pilih Noi. Tentu tak dapat tarik hidung Nur macam sekarang!”

Arip ketawa bahagia. Ditariknya Nok dalam dakapan.

“Tak mungkin, sayang. Nur kan cahaya abang. Tentulah abang pilih sayang. Noi pun tak mahukan abang. Dia terpaksa! Macam sayang juga. Malang betul abang ni, dua-dua pun reject! Apa? Tak cukup handsome ke? Kalau setakat Remy Ishak tu, boleh pukul tau!”
Betul kata Arip. Noi marah sungguh apabila disuruh menggantikan tempatnya. Jenuh dia memujuk dan akhirnya keadaan kembali pulih sebaik sahaja ijap kabul terlafaz. Noi meluru memeluknya, memohon maaf. Kerana tidak mahu umi atau walid mengatur perkahwinan seterusnya, Noi lekas-lekas meminta kekasihnya masuk meminang. Agaknya sudah serik terjebak dalam cinta 3 segi!

“Terima kasih abang!” Arip senyum bahagia.

“Kan betul abang cakap dulu!” Nok menjungkit kening, kurang faham. “ Sayang yang kena panggil abang. Bukan abang yang kena panggil kakak!”

Nok terseringai.