Followers


Sabtu, 18 Jun 2011

Muda

i
“Ateh! Encik Walid suruh sampaikan pesan. Kali ni tak boleh patah balik dah, macam yang dulu-dulu, sebab Encik Walid dan Ahli Majlis Tertinggi dah terima dengan sebulat suara,”

Terkebil-kebil dia merenung N71 di tangan. Kelam kabut berkejar dari dapur mencari telefon bimbitnya yang menyorok entah di mana-mana, itu yang dia dapat. Terkejut, ditambah sedikit sakit hati. Tanpa salam dan bertanya khabar, suara adiknya itu bagai petir menyambar ke dada. Rentung! Terbakar! Hangus!... Hangit!

Hah? Hangit! Hidungnya bijak memberi reaksi lantas meluru ke dapur bersama telefon yang terlekap di telinga. Ulas mata terjojol saat melihat ikan kembung yang tadinya cantik disalut kunyit bak hiasan bersepuh emas, sudah bertukar arang. Asap berkepul-kepul terbit dari kuali terlebih panas hingga merabunkan pandangan.

“Ya Allah, habis hangit ikan aku! Ini semua kau punya pasal, Noi! Tak boleh ke telefon kejap lagi? Dah tau masa ni Ateh nak masak, masa ini jugaklah kau nak baca perutusan!”

Dengan gementar, dihulurnya tangan perlahan-lahan lalu mematikan aliran gas. Pedih mata menahan asap hingga terbatuk-batuk. Fuh! Nasib baik rumah aku tak hangus sama. Kalau tak, tidur surau malam ni, bisik hatinya kelegaan.

Berderai tawa si adik di hujung talian tambah menyakitkan hati. Ditekannya butang mati dengan kasar sambil membayangkan sedang menunjal kepala si Noi di kampung. Hah, padan muka kau!

Kuali panas diangkat ke singki. Malang tidak bertanda, minyak yang masih berasap terpercik pula ke tangan. Akibat terkejut bercampur perit, pegangan di kuali terlepas lalu minyak yang direnangi dua ekor ikan kembung rentung mencemari lantai marmar putih. Spontan dia berundur ke belakang, bimbang kakinya menerima nasib serupa tetapi lompatannya tidak kena gaya. Maka, terlentanglah dia di dapur sempit itu dengan kepala terkunang-kunang akibat terhempas ke lantai. Sekoyong-koyang, suara umi terngiang-ngiang di telinga

“Ateh ni nanti, kawin dengan orang kaya! Ada bibik, ada orang gaji. Umi pun boleh tumpang senang”

Bagai terasa-rasa umi mengelus rambutnya, seperti waktu dulu. Saat umi memujuk rajuknya kerana diejek untuk dijodohkan dengan Arip, budak gembala lembu. Tersedar semua itu sudah 15 tahun berlalu, dia bangun perlahan-lahan menghadapi kenyataan. Kepala yang terasa sengal digosok. Pandangannya terpaku di lantai, di bawah meja makan sebelum beralih ke dinding kabinet. Dia mengeluh lemah. Tumpahan minyak memang mencemarkan alam sekitar!

“Umiii…Tolong Ateh! Bilalah mulut umi nak jadi masin ni?” raungnya.

Perutusan dari adiknya sebentar tadi melintas di fikiran. N71nya dicapai lantas nombor mudah alih Noi ditekan. Sebaik saja adiknya itu menyebut ‘hello’, terus sahaja dia berteriak kuat.
“Noi! Encik Walid tak salah orang ke?”

“Entah! Tak lah, kot!”

Dia nekad kali ini kerana tidak mampu lagi memberi pelbagai alasan. Empat bulan lagi, dia bakal meyertai kelab 3 ‘series’. Semakin dia mengeraskan hati, semakin lentuk pujuk rayu umi. Tambahan lagi, seisi alam sudah maklum bahawa si dia itu pernah mencuit rasa dalam hatinya, bertahun lampau. ‘Handsome, kaya lagi!’

Di matanya sudah terbayang bibik yang mundar mandir di ruang dapur rumahnya nanti. Telinganya bagai terdengar-dengar panggilan ‘puan’ dari mulut pembantu rumahnya itu. Hujung minggu, bercuti makan angin ke Paris, Las Vegas. Sarapan di Hong Kong, tengaharinya sudah berada di Seoul. Dia tersengih melayan anganan.

‘Seronoknya jadi isteri orang kaya!’, bisiknya dalam hati. Tak payah susah-susah macam sekarang! Namun, kenyataan tetap perlu didepani. Mop dicapai. Lalu dua ekor ikan kembung yang sudah bertukar menjadi ikan kayu itupun dicampak ke tong sampah!
***
“Alif…Lam…Mimm,” Arip memulakan bacaannya. Tok Malim senyum girang sambil mengangguk perlahan. Gembira melihat peningkatan tersebut. Tetapi, senyumnya tidak lama. Terbeliak mata tok guru mengaji itu apabila mendengar suara-suara halus menyampuk dari tangga rumah.

“Arip…Lemm…buuu!” Diikuti ketawa tertahan-tahan.

“Siapa tu, hah? Nak kena sula?” Ayat lazim Tok Malim apabila marah. Seketika, bergemuruh hentakan kaki di tangga sebelum senyap sunyi. Arip pun menyambung semula bacaannya…

“Nok! Cepatlah sikit! Kau ni lembablah…Cepat! Nanti dia nampak!”

“Sabarlah…Hish, dia ni! Kalau nak cepat sangat, buat sendiri! Jangan suruh aku!” Bibir nipis Nok sudah memuncung panjang. Sakit hatinya digesa begitu rupa. Kerja sukarela, bukannya bergaji pun!

Kasut getah bersepuh lumpur dijinjit si Nok dengan hujung jari. Gelilah konon! Padahal warna selipar jepun yang tersarung di kakinya itu lebih kurang sama sahaja. Terjingkit-jingkit dia menjauhi kaki tangga rumah Tok Malim. Di atas rumah, masih ramai yang belum habis mengaji. Oleh kerana hari ini mereka datang dan pulang awal, rancanganpun berjalan seperti yang direncana.

“Ehh…bukan yang tu! Yang ni…yang ni! Ini besar sikit, susah nak ambik nanti. Nok, letak kat sini!”

“Eh, janganlah oi! Yang tu memang besar tapi leper. Senang je nak ambik. Yang ni, hah! Tengok! Kan tebal ni!” Ada suara lain pula membantah.

Nok mula berang. Dilepasnya kasut getah ke tanah. Beg berisi muqaddam yang melurut, ditarik kasar ke bahu. Mukanya cemberut masam. Memang kepantangan baginya, diarah-diarah begitu begini.

“Hah Nok! Kau jangan nak mengelat, ye? Kali ini giliran kau. Tadi dah janji!” Kam, Tina dengan Ton, mula tidak berpuas hati. Giliran mereka bertiga tiada masalah. Sampai masa Nok beraksi, mulalah timbul macam-macam.

“Koranglah! Sekejap yang tu! Sekejap yang ni! Malas aku…kita tunda esok!” Boleh pula tunda-tunda!

“Kami tak kira! Kau kena buat hari ni! Esok kita nak buat yang lain…” Bantah Kam. Dua lagi jadi tukang angguk.

Nok merengus geram. Dikepit semula jarinya di hujung kasut getah. Perlahan-lahan diletakkan atas gumpalan tahi lembu, di tepi rumah Tok Malim. Bahan buangan itu masih baru, kerana waktu mereka sampai, ada sekumpulan lembu berkumpul di situ. Nok menekan sedikit kasut getah itu tetapi Tina bertindak lebih ekstrem. Dengan menggunakan ranting kayu, ditekannya kasut itu hingga terbenam, diikuti yang sebelah lagi. Teman berdua menabur bunga kertas di atasnya bak meraikan mempelai. Sekali pandang, tidak ubahnya bagai kek coklat berinti kasut!

Berderai ketawa mereka berempat tetapi terbantut dek bunyi berdeham Tok Malim dari atas rumah. Kelam kabut mereka bersembunyi di sebalik seperdu senduduk, bertentangan dengan kediaman tok guru mengaji mereka itu. Duduk berhimpitan di sana sambil beralaskan selipar masing-masing, menunggu saat mangsa keluar dan ‘menikmati’ hadiah dari mereka sebentar lagi.

“Abang, kau ada nampak kasut aku?”

Nok kerling Tina yang terseringai sebelum melawan pandangan Ton. Badan Kam sudah mula bergegar menahan tawa. Ulas mata dibesarkan kerana mereka berempat tidak mahu ketinggalan walau sebabak pun adegan di depan mata. Siaran langsung tu!

“Cuba cari sebelah sana! Nanti aku cari kat bawah rumah. Ni mesti ada yang sorok ni!” Dan pastinya, dia boleh mengagak angkara siapa!

Si abang sudah menyusup ke bawah rumah. Tampak sukar benar membawa perut yang boroi. Tawa Nok sudah mula terletus tapi mulutnya cepat-cepat dicekup Tina. Telunjuk Ton tegak di tepi mulut sementara Kam pula menuding ke arah depan. Tengok sana! Kam guna bahasa isyarat menunjuk si adik yang semakin menghampiri sasaran. Dua tiga orang teman lain ikut meninjau di merata kawasan rumah. Empat dara sunti di sebalik perdu senduduk terasa jantung mereka seperti mahu terlompat keluar menantikan saat-saat itu. Teruja yang amat!

“Abanggg!”

Jeritan si adik itu mengejutkan abangnya. Spontan, dia berpaling. Mungkin terlupa ataupun mungkin tidak sengaja, dia menegakkan badan. Dan,

Kelekuk!

“Adoi! Tak guna punya gelegar! Sakit kepala aku!”

“Eh, ni apa yang bising-bising sangat ni, hah? Kawan awak ramai lagi nak mengaji ni…Janganlah bising!” Tok Malim bertempik dari beranda. Misai penunduknya yang melenting diurut-urut.

Kelam kabut si perut gendut keluar dari bawah rumah. Wajah Tok Malim ditentang dengan gementar tapi kebenaran perlu ditegakkan. Dari ekor mata, dia nampak adiknya sedang mengadap selonggok najis lembu di tepi rumah. ‘Apahal pulak tu?’, hatinya tertanya-tanya.

“Tok, kasut Arip hilang. Tak tau siapa sorok. Adul cari kat bawah rumah, terhantuk gelegar pulak. Sakit tok!” Adunya sambil menggosok-gosok kepala yang terasa perit.

“Siapa yang main sorok-sorok kasut ni, hah? Nak kena sula?” Tempik Tok Malim lagi. Misai yang berbelang putih turut bergerak-gerak.

Siapa berani hendak mengaku? Sedangkan yang tidak tahu apa-apa, sudah seperti ayam patah tengkuk, inikan pula ‘mereka’ yang punya kerja. Kecut urat perut macam limau terlebih busuk!

Tok Malim hanya mampu menggeleng kemudian masuk semula ke dalam rumah menghabiskan tugas. Adul rapat ke sisi Arip. Terkejutnya dia melihat ‘kek’ yang berhias cantik. Beberapa orang budak laki-laki turut hampir lalu pecah tawa dalam kumpulan itu. Adul melirik Arip di sisi. Cebikan si adik mengundang kasihan dalam hatinya lalu di kuis kasut itu menggunakan sebatang ranting. Saat itulah dia terdengar bunyi ketawa dari rimbun senduduk. Perasaan berkocak marah, sangkaannya tadi mungkin ada benarnya. Diam-diam, dijolok ranting kayu ke dalam kasut lalu menghampiri perdu senduduk yang galak bergoyang.

“Hoi!” Tempiknya. Kasut berlumur tahi lembu diangkat betul-betul di atas kepala anak dara sunti nan berempat.

Wah! Bukan main terkejut semuanya! Terus sahaja membuka langkah seribu mencari basikal mereka tanpa sempat menyarung selipar, hanya di sauk di lengan masing-masing. Geli geleman pun ada apabila membayangkan andai kasut tersebut menimpa muka. Dari jauh, mereka dengar Adul terjerit-jerit mengejar dari belakang. Kasut berlumur warna hijau masih terlekat di hujung ranting yang dipegangnya.

“Tunggu! Kurang ajar! Aku sumbat mulut korang dengan kasut ni!” Termengah-mengah dia mengekor. Tidak mampu menandingi kepantasan empat orang budak perempuan bertubuh kurus kering.

“Nok! Nok! Selipar kau cicir!” Laung Kam.

“Apa? Ahh…lantaklah!” Yang penting sekarang, selamatkan diri. Basikal disorong ke depan lalu dengan sekali lompat, dia sudah mendahului yang lain.

“Nok, selipar kau!” Ton pula menjerit bila terpandang Adul sudah menjinjit selipar Nok.

“Aku kata biar aje…lagipun bukan selipar aku,”

“Selipar siapa?”

“Umi aku!”

Hahahaha…ketawa mereka bersambung-sambung dari atas basikal.
ii
“Ateh, umi suruh kau balik bulan depan. Encik Walid tak mau tunggu lama-lama, takut kau belot lagi,”

Matanya yang hampir tertutup, kembali luas. Sakit benar rasa hati diganggu masa rehatnya. Lebih sakit lagi, bila si Noi masih tidak mahu belajar sivik. Angkat telefon, beri salam! Tak adalah buat orang mati terkejut! Rungutnya dalam hati.

“Tengoklah dulu! Ateh kerjalah, jadi kuli orang. Kalau bos kasi cuti, bolehlah. Kalau tak, macamana?” Mendatar suaranya melayan si Noi. Mata kembali layu. Minggu ini, masa kerjanya sebelah malam. Waktu siang begini, dia perlu mengecas tenaga.

“Ehhh…tak boleh. Kena balik jugak. Encik Walid nak temukan korang berdua,”

“Hah? Biar betul kau ni,”

“Laa…betullah! Encik Walid takut Ateh lari macam hari tu. Nak bagi Ateh puas hati. Nanti tak adalah komplen, hidung kembanglah! Mata besarlah! Telinga capanglah!”

Dia diam sahaja. Malas hendak menjawab. Mata kembali tertutup tetapi benaknya terbuka luas. Wajah ‘si dia’ menjelma di minda. Kemudian, membandingkan pula dengan wajah-wajah yang pernah diperkenalkan kepadanya oleh walid dan umi. Hidung dia, mancung. Hidung Jamal, kembang! Mata dia sepet, mata Talib terjojol luas. Telinga dia cantik tapi telinga Nabil capang! Ohh…jauhnya beza antara mereka, hatinya dianyam bahagia kerana wajah itulah yang bakal dia tatap setiap hari, nanti.

“Ateh, hidup lagi ke?”

“Kurang ajar, ye? Sukalah tu kalau aku mati!” Kata-katanya disambut kekehan Noi yang begitu menjengkelkan.

“Walid ada gambar terbaru dia. Nak tengok ke?”

Kali ini, matanya terbuka luas. Segala urat, sendi dan otot di dalam badan terasa hidup. Spontan dia bangun dari pembaringan. Hatinya berdendang lagu bahagia. Jantungnya berkompang lagu pengantin baru!

“Nak…nak…nak! Nak tengok sangat,” Dia dengar adiknya di sana berdengus kasar.

“Gatal!” Jerkah Noi.

Terletus ketawa dari ulas bibirnya. Sempat lagi membayangkan wajah Noi yang kelat umpama salak muda. Bimbang adiknya itu berjauh hati, ketawanya dipendekkan sahaja. Dia khuatir kerugian kerana tidak dapat menatap wajah terkini bakal tunangnya itu. Nafasnya dihela panjang.

“Tapi, macamana walid dapat gambar dia pulak?”

“Eh…dia datang rumahlah. Penuh dalam telefon walid tu, gambar dia aje…”

Si dia datang? Bukankah dia di New Zealand sekarang ni? Pulang bercutikah? Hatinya mengembang dengan rasa bangga. Begitu bermaknakah dirinya itu? Sekadar rombongan merisik, cukup hanya keluarga yang hadir tetapi dia sudi ikut bersama. Bukankah itu tandanya dirinya dihargai? Ohh…hati melonjak girang. Tidak sabar menunggu sebulan lagi.

“Tapi orang peliklah. Macam tu punya handsome, kenapa tak kawin lagi? Mustahil tak ada orang nak! Kalau Ateh tu, orang fahamlah…”

“Eh, kenapa dengan Ateh pulak?”

“Ateh tu kan, buruk! Hodoh! Memang lah tak laku, tak ada orang hendak!” Ketawa Noi terdengar sayup-sayup sebelum talian terputus.

Haprak punya adik!
***
Malang betul nasib mereka hari ini. Sudahlah didenda kerana tidak menyiapkan kerja rumah, basikal Kam pula pancit. Terdorong oleh rasa persahabatan yang kental, Kam dibenarkan membonceng di belakang Nok. Sambil mengayuh perlahan-lahan, tiada lain yang dibincangkan kecuali pembalasan!

“Memang nak kena si Roi tu! Mentang-mentang dia pengawas! Suka hati dia aje nak tulis nama orang. Lewat 2 minit pun tak boleh!”

Nok terpinga-pinga, mindanya mula menganalisa. Roi mana pulak ni? Seingatnya, tiada pengawas bernama Roi di sekolah!

“Ada pengawas baru ke? Aku tak kenalpun pengawas nama Roi tu?”

“Hish, kau ni. Roi tu si boroi Adul tulah, siapa lagi!” Ton mencebir. Tina dan Kam mengekeh gelihati mendengar panggilan manja tersebut. Memang kena betul dengan tuannya!

“Kau pun kena, Ton? Aku ingatkan, aku seorang je jadi mangsa dia,” Nok meniru tingkah Ton, mencebir panjang. Meluat betul bila ingat muka si Adul boroi. Rasa hendak belah saja perut besar tu! Gantikan dengan hati dan perut yang baru. Yang sekarang ni, busuk! Tak boleh pakai!

“Kami berdua pun kena! Ingat tak aku keluar dengan Tina pergi tandas tadi? Dia kata kami berdua ponteng kelas! Tak guna punya Adul!” Kam menumbuk udara.

Terjerit Nok memarahinya kerana basikal bergoyang kuat dan sukar dikawal. Tapi, Kam masih lagi di bawah pengaruh rasa sakit hati yang melampau pada Adul. Kali ini, kakinya pula bergerak laju lalu tersepak belakang lutut Nok. Tergolek kedua-duanya ke tanah bersama jeritan nyaring dari Nok.

“Kau turun dari basikal aku, sekarang!” Lurus telunjuknya menghalau.
“Habis, aku nak naik basikal siapa?” Kam pandang Tina. Tapi bagi Tina, langit yang membiru lebih cantik untuk dipandang berbanding muka temannya itu.

“Tonnn…” Rayu Kam sambil menunjuk muka kasihan. Ton yang lebih lembut hatinya berbanding yang lain, angguk kepala laju. Rambut tocang duanya bergoyang-goyang. Kam tidak tunggu lima saat pun. Terus sahaja bertenggek di belakang Ton. Pergerakannya dihadkan. Bimbang dihalau buat kali kedua!

“Macam ni tak boleh jadi! Kita mesti kenakan dia semula. Si Arip pun berlagak betul! Mentang-mentang cikgu asyik puji dia, nak menunjuk dengan kita. Kalau dia bagi kita pinjam buku latihan dia tadi, tentu kita tak kena denda. Tak adalah balik lewat macam ni. Kedekut!” Kutuk si Tina.

“Alah…Dia tu berani sebab ada abang dia aje…Cuba kalau sorang? Nak angkat muka pun tak berani! Tak apa…tahun depan si boroi tu dah masuk tingkatan satu. Hah, tahulah nasib dia nanti!”

Keempat-empatnya tersengih lebar. Lagi lima bulan, mereka akan melangkah ke darjah lima. Tidak sabar rasanya menanti detik Si Arip melutut di hadapan mereka bila tiadanya Adul sebagai pelindung. Budak gembala lembu itu memang pandai bermuka-muka! Kalau depan cikgu, dialah yang paling baik, paling bijak. Jalanpun tertunduk-tunduk. Tapi, bila ada abangnya di sisi, perangai sebenarnya mula terdedah. Walaupun tindakannya tidak seganas Adul namun mereka tetap tidak sukakannya yang dirasakan pembantu kanan abangnya itu.

“Cepatlah sikit oi! Nanti lambat pergi mengaji, tak jadi pulak rancangan kita. Aku tak sabar nak balas dendam pada Adul,”

Nok mempercepatkan kayuhan. Dibiarkannya teman bertiga tertinggal di belakang. Sakit hati pada budak lelaki 12 tahun itu, payah dihilangkan. Tidak pasal-pasal dia didenda mencabut rumput di padang pagi tadi. Pinggangnya rasa hendak patah. Kalau padang sebesar gelanggang bola jaring, tidaklah dihairankan sangat. Ini, padang bola! Dendamnya berbungkal di dalam hati.

“Tunggulah Nok! Kalau ia pun, janganlah laju sangat! Kam ni berat, tau tak?” Teriak Ton tapi Nok tetap menonong ke depan.

Tina cuba menyaingi temannya itu. Ton masih termengah-mengah mengayuh kerana terlebih muatan. Sebelah pagi, mereka ke sekolah berasingan kerana ada yang pergi bersama kakak atau abang masing-masing. Ketika pulang baharulah mereka berbasikal bersama sementara abang dan kakak mereka menghadiri kelas tambahan di sekolah.

“Nok, kau datang lewat pagi tadi?”

“Tak!”

“Habis, kenapa Adul tulis nama kau?”

“Entah, dia kata aku tak berdisiplin. Tak pakai lencana sekolah!”

Tina mengerling baju seragam Nok. Apa yang tak kena? Bukankah ada lencana di baju Nok itu? Adul sengaja nak buat khianat ke? Dahinya berkerut hairan. Bila diamatinya, ternyata ada sedikit kelainan pada Nok hari ini, tapi apa?

“Nok, kau pakai baju baru ke? Nampak besar sikitlah!” Nampaknya Ton ikut menyedari kelainan tersebut.

“Taklah! Baju aku basah. Aku pakailah baju kakak aku!”

“Kakak kau yang sekolah menengah tu?”

Nok mengangguk. Kam dengan Ton sudah ketawa lepas. Terbayang-bayang tubuh gempal Kak Wok yang belajar di tingkatan satu. Tina ternganga. Lencana di baju Nok dijelingnya semula.

Laaa…Patutlah!
iii
“Boleh cakap dengan cik Norkiah?”

“Ya, sayalah tu. Siapa ni?” Hairan betul dia. Sebelum ini, tiada siapa yang menghubungi bertanyakan nama penuhnya. Nama yang umi pilih kerana tertarik dengan filem Masam Masam Manis lakunan Tan Sri P. Ramlee. Akauntan tempat kerjapun, memanggilnya Kiah. Sejak bekerja, nama Nok seolah-olah sudah berkubur. Kadang-kadang , dia rasa rindu hendak mendengar panggilan itu semula.

“Nok! Ni akulah…Rindunya aku kat kau!”

Ya Tuhan! Siapakah yang mendengar jeritan batinnya itu? Beberapa potong nama yang sudah lama sirna, melintas kembali di benak. Ton? Tina? Kam? Tak mungkin! Kepalanya tergeleng perlahan. Hubungan mereka berempat sudah lama terputus. Tuhan saja yang tahu, betapa dia merindukan saat-saat lalu. Sebaik sahaja tamat sekolah, masing-masing keluar dari kampung mencari penghidupan baru. Sejak itu mereka jarang berjumpa, hanya sesekali bila pulang beraya. Kali terakhir bertemu, di hari bahagia Kam lima tahun lalu!

“Nok! Ini akulah…Tina!”

“Tinaaa! Betul ke ni Tina?” Terharu sungguh rasanya, langsung tidak menyangka dihubungi teman lama. Antara mereka berempat, Tina yang paling awal mengakhiri zaman dara. Pasangannya pun, kawan sekolah mereka juga cuma berlainan tingkatan. Terbayang-bayang wajah manis Tina yang bujur sireh, dagu berbelah sehingga menambat hati Azhar, abang angkatnya dari tingkatan lima. Dia tersengih sendiri.

“Nok…aku ada kat kampung. Due aku dah dekat, anak kedua. Noi yang bagi nombor kau ni. Tak sangka, akhirnya kau jadi juga dengan dia,” Ada nada sebak pada suara Tina. Dia menghela nafas dalam-dalam.

“Aku pun tak percaya, dia masih sudi tunggu aku. Ye la kan, kat luar negeri tu ada ramai lagi yang dia boleh pilih,”

“Dia belajar kat luar negeri ke? Aku tak tahu pun. Tapi tulah, orang tua ada cakap. Jangan benci sangat, nanti jadi suka!”

Dia mula berkerut hairan. Bila waktunya dia membenci? Zaman nakal sekolah rendah? Itupun nak kira jugak ke? Tina dah salah orang ni, fikirnya.

“Kau cakap pasal siapa ni, Tina? Bila masa pulak kami ni saling membenci?”

“Laa…aku cakap pasal kau lah, dengan si gembala lembu tu! Arip…lemmm…buuu!”

Hah? Batu besarkah yang menghempap kepalanya kini? Tidakkk!

***
“Eh Arip! Siapa yang datang rumah Tok Malim dengan kau semalam, hah? Aku tak pernah tengok pun! Sedara kau ke?”

Nok rapat ke meja Arip. Temannya yang bertiga berdiri di belakangnya, tidak ubah bagaikan panglima melindungi sang ratu. Arip terkebil-kebil melihat mereka sebelum membuang pandang. Malas hendak melayan samseng Kampung Dusun!

“Arip, kau dengar tak Nok tanya?” Kam pula menyoal siasat. Geram juga rasanya melihat tingkah selamba si Arip.

“Ingat aku pekak ke?” Suara Arip garau dan dalam. Tidak kena dengan badannya yang kurus tinggi.

“Kalau tak pekak, jawablah. Nama aje bijak tapi itupun nak kena ajar!” Basuh Kam lagi. Nok sengih. Ton dan Tina hanya membisu. Diserahkan bulat-bulat kepada teman berdua. Tambahan lagi, Nok yang beria-ia benar mahu menyiasat. Mereka berdua hanya bertindak mengikut arahan!

Arip menjeling Kam yang membuntangkan mata. Rimas rasanya melayan karenah anak dara berempat itu. Tetapi apakan daya, mereka sekelas. Mahu atau tidak, terpaksalah juga dia menghadapinya. Semenjak dari sekolah rendah hinggalah sudah boleh jadi emak orang, perangai nakal tidak surut-surut. Paling menghairankan, hanya dia yang sering jadi mangsa berbanding teman-teman lain. Lebih-lebih lagi, selepas Adul melangkah ke sekolah asrama penuh. Tinggallah dia menghadapi kaki buli berempat itu!

Bukan dia tidak pernah melawan tetapi balasan yang akan dia terima lebih teruk lagi. Pernah sekali dia meletakkan seekor katak puru dalam kasut Nok semasa mengaji, gara-gara selipar jepunnya dicampak anak dara itu ke atas bumbung rumah Tok Malim. Keesokannya, dia menerima penghantaran istimewa berupa sekotak katak pelbagai saiz. Terjerit-jerit emak melatah akibat geli geleman melihat katak berlompatan di ruang tamu. Terbakar sungguh hatinya!

“Itu Adul, abang aku!” Akhirnya Arip mengalah. Terbelalak empat pasang mata di hadapannya itu.

“Adul? Eh, bukan dia boroi ke? Kau jangan nak tipu kami!” Tina mengancam. Tiba-tiba terasa mahu masuk campur. Macam tidak percaya dengan kata Arip. Adul yang mereka kenal berperut boroi, dagu berlapis. Tapi semalam…alamak! Kacak sungguh!

“Kau nak percaya ke tidak, aku peduli apa!” Arip mula mengangkat punggung, mahu pergi dari situ tetapi langkahnya ditahan Nok. Senyum gadis itu nampak lain macam. Nok menapak hampir dengannya dengan muka comel sambil mata dikelip-kelip berulang kali. Tidak ubah macam si Tompok, kucingnya yang manja. Berderau darah Arip naik ke kepala! Dadanya rasa mahu meletup!

“Ariipp…cakap lah betul-betul. Siapa semalam tu?”
“Adul, abang aku! Dia balik cuti, kena sakit mata. Kau jangan dekat dengan dia, nanti kau pulak kena jangkit!” Amaran itu dibuat kerana dia tidak mahu empat dara itu mengganggu abangnya pula. Cukuplah yang sudah-sudah!

“Jadi, betullah tu Adul? Tak sangkanya! Kalau macam tu, aku lantik kau jadi posmen aku. Hari ni, aku nak kirim salam je. Esok, aku nak kirim surat pulak, boleh?” Nok sengih lebar. Tiga lagi jadi pom pom girl. Bersorak-sorai tanda sokongan tidak berbelah bahagi.

Arip terpinga-pinga. Jangkaannya meleset. Dan, sejak hari itu bahunya semakin senget memikul tanggungjawab. Menyampaikan salam beserta surat cinta beraroma bedak bayi. Dan paling penting, mengarang surat balasan bagi pihak Adul. Sudahnya, dia sendiri terasa hanyut oleh perasaan terhadap Nok…tanpa diketahui sesiapa. Lebih-lebih lagi, anak gadis itu yang menyangka perasaannya terluah kepada orang yang sepatutnya.

“Korang jangan ganggu Arip lagi! Dia dah baik sekarang,”

“Eleh…dia baik dengan kau aje. Dengan kami, sama jugak. Kedekut! Tangkai jering!” Bentak Kam suatu hari, bila dia merancang hendak mengenakan bakal ‘adik ipar’ Nok itu.

“Apalah bengap sangat? Kalau dia baik dengan aku, korang pun dapat untung sama. Nah, buku aku! Baru kejap aku salin jawapan dari Arip!” Nok mengibar buku tulis sambil terseringai. Pandai betul ambil kesempatan! Sambil menyelam, sambil minum air!

Kam, Ton serta Tina bertepuk tampar kegirangan. Bagai tikus jatuh ke beras!
iv
“Umii…kenapa Arip pulak? Bukan Adul ke?”

Dia tidak tunggu sesaat pun, apatah lagi sebulan untuk bertanyakan tentang hal tersebut. Kali ini, masalahnya bukan lagi tentang hidung, mata atau telinga tapi status gembala yang disandang Arip. Sejak dulu, kini dan selamanya. Wajah Adul yang kacak melambai-lambai di ruang mata. Impiannya berkecai! Paris, Las Vegas, Hong Kong dan Korea makin jauh dari jangkauan. Yang ada hanya padang tempat lembu meragut rumput!

“Adul? Eh, yang datang minta Ateh ni, Arip. Dengarnya, Adul ada kat New Zealand. Arip pun apa kurangnya. Ateh dah tengok gambar Noi hantar tu?”

Panjang sedepa bibirnya. Gambar? Huh, dah lama dia padamkan. Bahkan sebelum sempat dijamah pandangan mata. Tidak sanggup menelek tubuh kurus kering si Arip. Agaknya, setiap hari mengadap lembu, selera Arip pada nasi pun sudah hilang. Entah-entah, Arip makan rumput! Hatinya berbisik jahat.

“Alaa…umi. Ateh tak naklah! Umi cakap dengan walid, ye? Ateh tak suka!” Rengeknya lagi. Airmata sudah semakin berat di pinggir kelopak. Terbayang kembali wajah Arip yang suka berlindung di belakang abangnya Adul. Teringat semula sifat kedekut lelaki itu ketika di alam persekolahan. Oh Tuhan, bukankah anak-anak bakal mewarisi sifat orang tuanya? Dia impikan zuriat yang berani dan baik hati! Bukannya penakut dan tangkai jering!

“Jangan buat hal! Walid dengan umi dah setuju. Ateh pun tak bantah hari tu! Atok pun dah tahu. Sebab tu umi suruh balik! Kenapa Ateh tak balik?” Bebel umi. Dia diam tidak menjawab. Memang salah sendiri!

“Ateh ingatkan Adul…”

“Lagi-lagi Adul! Apa lebihnya Adul dari Arip?”

“Adul pandai, kaya…”

“Arip pun bijak. Dia lulus universiti jugak. Lagi kaya dari Adul, tau? Lembu dia tu dah eksport sampai luar negeri!” pintas umi panjang lebar membuatkan dia terpinga-pinga seketika. Agak terkejut dengan berita yang baru diketahuinya itu. Otaknya diperah lagi, mencari fakta untuk melenyapkan impian umi bermenantukan si kurus tersebut.

“Tapi, Adul duduk New Zealand. Arip tu langsung tak ke mana-mana. Otakpun tak berkembang. Macam katak bawah tempurung!”

“Eh…Si Arip tu tak suka membazir! Kumpul duit, nak besarkan ternakan lembu dia tu! Esok, bila dah kawin, dia bawaklah kamu ke mana-mana yang kamu nak pergi. Lagipun, New Zealand dengan kampung kita ni, tak ada beza pun!” Umi sudah menukar panggilan untuknya sebagai petanda ribut kecil sedang berpusar di dalam tubuh uminya itu.

Umi ni macam tahu-tahu saja, gerutunya dalam hati. Kalau sudah berkenan, semuanya elok! New Zealand dengan Kampung Dusun pun sudah tak nampak beza!

“Banyak beza umi. New Zealand kan sejuk…”

“Sejuk? Felda New Zealand tu, sejuk ke? Rasanya, sama aje dengan Kampung Dusun ni!”
Kenyataan umi itu membuatkan dia hampir pitam. Kepalanya berdenyut keras. Fikirannya dipenuhi gambaran pemuda kurus kering yang pernah dilantik menjadi posmennya suatu ketika dulu. Hidungnya terbau-bau hamis daging lembu. Lebih dramatik, ingatannya terseret kepada ‘kek berinti kasut’ yang pernah menjadi hadiah istimewa buat Arip!
***
“Arip, nanti kau kena panggil aku, kakak. Sebab masa tu, aku dah jadi kakak ipar kau!” Nok mengilai gelihati. Cikgu tiada di kelas, inilah masa yang sesuai untuk mengusik. Seronok pula membayangkan Arip memanggilnya kakak. Ton, Tina dan Kam hanya tersengih, menumpang seronok.

“Tak ingin aku! Jangan nak berangan!” Marah Arip. Kalau sungguh Adul berjodoh dengan Nok, tidak mungkin dia mahu memanggil gadis itu dengan panggilan kakak. Lebih baik kalau dia langsung tak bercakap!

Nok berkerut hairan. Arip mahu berkurang ajarkah? Walaupun dia maklum mereka seusia, pangkat tetap diutamakan. Wajah Arip direnungnya, lama. Tidak sedar, dia menilai penampilan anak muda itu dalam diam. Kalau dilihat dari segi rupa, kedua-duanya setara cuma Arip kurus tinggi berbanding Adul yang dulunya boroi, sekarang sudah tegap badannya. Suara Arip garau dan dalam. Ada waktunya, suara itu mampu membuatkan romanya meriding terutama apabila Arip berbisik ke telinga Nok tentang rahsia dari Adul. Lengan Arip kekar, urat lengannya kelihatan timbul. Mungkin kerana kerja mengembala yang dilakukannya selepas tamat sesi persekolahan.
“Nok! Kau menung apa tu?” Jerkah Kam membuatkan Nok tersentak. Dadanya diurut perlahan-lahan, bagi mengurangkan rasa terkejut. Teman bertiga yang tersengih-sengih dijelingnya, tajam.

“Nok teringat Adul tu!”

Arip mengerling sekilas. Mahu melihat perubahan air muka Nok tetapi anak gadis itu diam sahaja. Nok angkat muka, mengilas pandangan ke arah Arip sekali lagi namun pandangan mereka bertembung. Kali ini, Nok bertahan dan Arip pula melawan. Entah bila, teman yang bertiga pergi dari situ, kedua-duanya tidak pasti.

“Aku tak rasa yang aku kena panggil kau kakak,” Arip bersuara perlahan. Nok terpinga-pinga. Kurang memahami ungkapan tersebut. Senyuman Arip tersembunyi maksud tersirat yang sukar ditebaknya.

“Aku yakin sangat, kau yang kena panggil aku abang, nanti!” Senyuman Arip semakin melebar membuatkan jantung Nok bertukar rentak!